Mordi Bimol terima cabaran baharu sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan

Mordi Bimol terima cabaran baharu sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelantikan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan dianggap tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan belia dan pembangunan sukan negara.

Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, berkata pelantikan itu adalah amanah untuk memastikan setiap program belia dan sukan memberi impak sebenar.

“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Ia bukan sekadar jawatan, tetapi amanah untuk memastikan setiap program belia dan sukan memberi impak sebenar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang diberikan serta sokongan semua pihak sepanjang perjalanan beliau sebelum ini.

Fokus awal beliau, kata Mordi, adalah memahami sepenuhnya peranan dan keperluan kementerian, selain menyokong usaha sedia ada dalam pembangunan belia dan sukan, khususnya di peringkat akar umbi.

“Sebagai seorang wakil rakyat, saya sedar keterbatasan diri dan keperluan untuk terus belajar. Pengalaman mewakili kawasan luar bandar menjadi panduan untuk menyumbang secara berperingkat dan berlandaskan realiti sebenar,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mordi menegaskan tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen Mas Gading tidak terganggu. Khidmat kepada rakyat serta usaha memperjuangkan pembangunan masyarakat setempat tetap menjadi keutamaan.

Beliau juga menekankan bahawa pelantikan ini adalah peluang untuk memperkukuh dasar pembangunan belia dan sukan negara, termasuk membina bakat-bakat muda yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kerjasama semua pihak dalam kementerian adalah penting. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan setiap dasar dan program dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top