Bot karam di Indonesia: Seorang maut, 24 hilang

Bot karam di Indonesia: Seorang maut, 24 hilang

Jakarta: Sebuah bot penumpang karam di perairan berhampiran sebuah pulau di Indonesia yang mengakibatkan seorang maut, manakala 24 lagi dilaporkan hilang, menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan pada semalam.

Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Muhammad Arif Anwar berkata, kejadian berlaku selepas enjin bot berkenaan mengalami kerosakan ketika berlayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di Sulawesi Selatan .

Beliau berkata kepada AFP, kru bot gagal membaiki kerosakan enjin itu menyebabkan nakhoda menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan pemindahan.

Menurut Arif, bot berkenaan sudah separuh karam ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada semalam.

Beliau berkata, 49 penumpang berjaya diselamatkan, manakala seorang wanita ditemukan meninggal dunia dan 24 lagi masih hilang.

Katanya, senarai penumpang bot berkenaan pada awalnya merekodkan hanya 50 individu berada di atas kapal, namun semakan lanjut mendapati jumlah sebenar penumpang dan kru adalah 74 orang.

Perbezaan antara jumlah sebenar penumpang dengan rekod adalah isu yang sering berlaku dalam insiden pengangkutan laut di Indonesia.

Arif berkata, sebuah kapal Tentera Laut Indonesia turut dikerahkan bagi membantu operasi mencari yang dijangka diteruskan sehingga malam.

Kemalangan laut sering berlaku di negara kepulauan Asia Tenggara itu, antaranya disebabkan tahap keselamatan yang lemah selain faktor cuaca buruk.

Januari lalu, tiga pelancong dari Sepanyol maut selepas bot yang dinaiki mereka karam di timur Indonesia, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang selepas pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top