Kes tetak di Batu Caves, lapan lelaki direman

Kes tetak di Batu Caves, lapan lelaki direman

mhafis@mediaprima.com.my

Gombak: Polis menahan lapan lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki parah ditetak dengan parang dalam serangan di hadapan kedai serbaneka di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Selayang berhubung kejadian menimpa mangsa berusia lingkungan 20-an itu.

Beliau berkata, mangsa diserang seorang lelaki tidak dikenali di hadapan sebuah kedai serbaneka di Amara Residensi, Batu Caves, di sini, sebelum ditetak menggunakan parang sehingga parah.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak bersama Jabatan Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan empat lelaki pada Ahad lalu.

“Mereka direman selama seminggu sehingga 21 Disember ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Ariffin, susulan tangkapan itu, empat lagi suspek ditahan semalam dan hari ini, dengan kesemua mereka berusia antara 21 hingga 33 tahun.

“Empat suspek terbabit direman enam hari sehingga 22 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top