sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gandingan Harith Danial Jefri dan K Sehveetrraa menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam skuasy pada Sukan Sea Thailand di Bangkok, hari ini.
Pasangan pilihan ketiga itu membalas kekalahan peringkat kumpulan apabila mengejutkan pasangan pilihan utama, Jonathan Reyes dan Aerra Mae Relano, dalam final beregu campuran jumbo bawah 21 tahun.
Harith-Sehveetrraa menang bergaya 11-5, 11-2 dalam tempoh 33 minit untuk muncul juara.
Kejayaan itu lebih manis memandangkan mereka tewas 8-11, 11-8, 11-8 kepada Jonathan-Aerra pada aksi peringkat kumpulan awal minggu ini, selain status mereka sebagai gandingan baharu.
Sehveetrraa, 20, gembira meraih emas pada penampilan sulungnya di Sukan Sea.
“Ini kali pertama saya bermain beregu jumbo dengan Harith dan ia sangat meletihkan.
“Kami serasi dan berjaya menewaskan pilihan utama. Sudah tentu kami sangat gembira,” katanya.
Pengurus pasukan kebangsaan, Andrew Muthu, memuji semangat juang dipamerkan duo berkenaan.
“Mereka bangkit pada perlawanan akhir dan berjaya mengatasi lawan.
“Harap Harith dapat bergandingan baik dengan Low Wa Sern untuk memburu emas kedua menerusi beregu jumbo lelaki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




