saufi@mediaprima.com.my
MANUSIA pada hari ini hidup dalam dalam zaman yang paling banyak merekod maklumat sejarah manusia.
Namun, ironinya, wujud kemungkinan bahawa generasi ini paling berisiko kehilangan rekod itu sendiri.
Dokumen kertas kuno mampu bertahan beratus malah beribu tahun, tetapi fail digital yang disimpan dalam disket, cakera padat (CD) atau format perisian lama boleh menjadi ‘sampah elektronik’ dalam tempoh beberapa dekad sahaja apabila peranti dan perisian untuk membacanya tidak lagi wujud.
Fenomena ini dikenali sebagai keusangan digital (digital obsolescence), iaitu risiko kehilangan data akibat ketidakupayaan mengakses aset digital, apabila perkakasan atau perisian yang diperlukan untuk mencapai maklumat itu berulang kali digantikan dengan peranti dan sistem baharu, sehingga format lama menjadi semakin tidak serasi.
Pengarkib turut menggelar senario terburuknya sebagai ‘zaman gelap digital’ (digital dark age) yang mana sebahagian besar khazanah budaya dan intelektual yang tersimpan dalam format usang hilang buat selama-lamanya.
Contoh paling masyhur ialah projek ‘Domesday BBC’ di United Kingdom (UK).
Projek yang dikompilasi antara 1984 hingga 1986 itu menandakan ulang tahun ke-900 buku Domesday asal, iaitu banci England abad ke-11 dengan anggaran lebih sejuta orang menyertainya, kebanyakannya murid sekolah yang menulis mengenai geografi, sejarah dan kehidupan seharian di kawasan mereka.
Buku Domesday yang dikeluarkan pada 1086 masih boleh dibaca hingga hari ini, sedangkan cakera projek 1986 itu pernah dibimbangi bakal menjadi bahan yang tidak boleh diakses kerana perisian dan pemacu cakera yang mampu membaca formatnya semakin sukar ditemui.
Bagaimanapun, menerusi projek ‘CAMiLEON’, ia berjaya memindahkan maklumat berkenaan ke sistem baharu pada 2002.
Dokumen kertas berusia hampir 1,000 tahun ‘mengalahkan’ teknologi canggih yang baru berusia 16 tahun.
Agensi Angkasa Amerika Syarikat, NASA juga tidak terlepas.
Pita asal pendaratan manusia pertama di bulan pada 1969 antara lebih 700 kotak pita data magnetik dirakam sepanjang program Apollo yang tidak dapat dikesan.
Siasatan intensif terhadap arkib dan rekod merumuskan senario paling berkemungkinan ialah pengurus program memutuskan pita itu tidak lagi diperlukan kerana semua video dirakam di tempat lain, lalu ia dipadam dan diguna semula.
Kajian rasmi Institut Konservasi Kanada (CCI) mendapati hanya CD-R jenis khas dengan pewarna phthalocyanine dan lapisan logam emas mampu bertahan melebihi 100 tahun, manakala CD boleh tulis semula (CD-RW) bertahan antara 20 hingga 50 tahun sahaja dan cakera Blu-ray boleh rakam (BD-R) pula sesingkat lima hingga 10 tahun.
Lebih membimbangkan, institut itu memberi amaran pengabaian garis panduan penyimpanan boleh mengakibatkan kegagalan pramatang cakera dalam tempoh sesingkat dua hingga 10 tahun.
Media magnetik pula berdepan masalahnya sendiri.
Pita magnetik dan disket terdedah kepada kemerosotan pelekat yang memegang lapisan data magnetik atau penyahmagnetan lapisan data itu yang lazim dipanggil ‘bit rot’, manakala cakera optik mudah rosak permukaannya serta mengalami pengoksidaan, satu proses yang digelar ‘disc rot’.
Usaha penyelamatan data berbentuk ini sedang giat dijalankan di seluruh dunia.
Pakar pemuliharaan di Universiti Cambridge misalnya tidak sekadar memasang disket lama dan berharap ia berfungsi, sebaliknya menggunakan perkakasan khusus seperti ‘KryoFlux’ dan ‘Greaseweazle’ bagi menangkap peralihan fluks magnetik yang mengekod data.
Ia kemudian membina semula struktur fail menerusi perisian, sekali gus membolehkan format bukan PC dipulihkan dan sektor rosak dikenal pasti.
Pada peringkat dasar pula, Microsoft menjalin kerjasama dengan Arkib Negara UK pada Julai 2007 bagi membuka berjuta-juta fail komputer tersimpan yang tidak boleh dibaca.
Arkib itu kini menerima pelbagai format fail untuk pemeliharaan jangka panjang termasuk Office Open XML, PDF dan OpenDocument.
Gambar keluarga, dokumen penting dan karya kreatif yang hanya tersimpan dalam satu peranti atau satu format lama adalah bom jangka.
CCI sendiri menyarankan tiga salinan maklumat dibuat pada sekurang-kurangnya dua jenis media simpanan berbeza dengan satu salinan disimpan di lokasi berasingan, di samping migrasi data ke format baharu secara berkala.
© New Straits Times Press (M) Bhd




