Manchester, England: Manchester City mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas menang 2-0 ke atas Brentford di laman sendiri, awal pagi tadi dan akan bertemu juara bertahan Newcastle United yang memerlukan gol masa tambahan Lewis Miley untuk menewaskan Fulham 2-1 di St James’ Park.
Chelsea yang menewaskan Cardiff City 3-1 semalam akan berdepan sama ada Arsenal atau Crystal Palace yang akan berentap dalam suku akhir terakhir pada Rabu depan.
Pep Guardiola melakukan tujuh pertukaran daripada kesebelasan City yang menang 3-0 ke atas Crystal Palace, Ahad lalu namun tuan rumah tidak berdepan masalah besar menyingkirkan Brentford yang gagal memberi ancaman di bahagian serangan.
Selepas permulaan perlahan dalam hujan lebat, City mula mencipta peluang apabila Rayan Cherki melepaskan rembatan tersasar dan satu lagi percubaannya ditepis, manakala Oscar Bobb mensia-siakan peluang baik selepas menggelecek masuk ke dalam kotak penalti.
Percubaan lemah Bobb tepat ke arah penjaga gol dan pemain itu terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-19 untuk digantikan oleh Phil Foden. Foden pula digantikan lewat permainan bagi memberi peluang kepada pemain berusia 19 tahun, Charlie Gray, membuat penampilan sulung bersama pasukan utama City.
Pemain Brentford, Mathias Jensen memaksa penjaga gol City, James Trafford melakukan satu-satunya aksi menyelamat pada separuh masa pertama menerusi sepakan percuma sebelum Cherki memecah kebuntuan untuk tuan rumah pada minit ke-32.
Sepakan sudut City ditanduk keluar pertahanan Brentford, namun bola jatuh di luar kotak penalti kepada Cherki yang mengawal dengan dada sebelum melepaskan rembatan kaki kanan padu yang menerjah penjuru atas gawang.
Cherki meraikan gol itu dengan gaya ‘robot’ Erling Haaland sebelum berjabat tangan dengan penyerang City tersebut yang direhatkan di bangku simpanan oleh Guardiola.
City mengesahkan kemenangan pada minit ke-67 apabila Savinho membawa bola masuk ke dalam kotak penalti dan percubaannya terkena pertahanan Kristoffer Ajer yang melambung melepasi penjaga gol.
Sementara itu, Newcastle mendahului pada minit ke-10 selepas penjaga gol Fulham, Benjamin Lecomte menepis hantaran lintang rendah Jacob Murphy ke arah Yoane Wissa yang menyempurnakan peluang dari jarak dekat dalam penampilan pertamanya bersama kelab.
Fulham yang bermula lebih bertenaga sebelum ketinggalan, menyamakan kedudukan enam minit kemudian apabila Sasa Lukic yang tidak dikawal menanduk masuk hantaran Antonee Robinson.
Penyokong tuan rumah menyangka Newcastle kembali di hadapan pada minit ke-65 apabila Joachim Andersen tertampan bola ke gawang sendiri, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Lecomte sekali lagi menafikan percubaan Miley pada masa tambahan, dan ketika perlawanan kelihatan menuju ke penentuan sepakan penalti, tandukan lencong Miley hasil sepakan sudut memastikan tempat Newcastle di separuh akhir.
“Saya cuba menanduk bola itu dan bernasib baik ia masuk ke dalam gawang. Saya sangat teruja,” kata Miley kepada Sky Sports. “Kami menjuarainya musim lalu dan harap boleh mengulanginya lagi tahun ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



