ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Prosiding sebutan kes dadah pengarah dan penyanyi rap tempatan, Namewee yang ditetapkan, hari ini di Mahkamah Majistret ditangguhkan berikutan dia tidak dapat hadir kerana dijangkiti Influenza A.
Pada prosiding di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan S Arunjothy hari ini, peguam, Joshua Tay yang mewakili Namewee atau nama sebenarnya Meng Chee, 42, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak hadir kerana tidak sihat.
Joshua berkata, bagaimanapun penjamin Namewee hadir dan membawa sijil sakit anak guamnya yang diberikan cuti sakit selama tiga hari daripada sebuah hospital swasta termasuk laporan perubatan yang menyatakan tertuduh dijangkiti influenza A.
Sehubungan itu, kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Disember ini dan 19 Januari tahun hadapan. Pendakwaan kedua-sua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’ Asnitha Zaina’ Larifin dan Izzat Amir Idham.
Namewee didakwa dengan tuduhan pertama, iaitu ada dalam milikannya dadah disyaki jenis Ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram di bilik sebuah hotel di Jalan Conlay di sini pada jam 4.30 petang, pada 22 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga dan sembilan sebatan.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memberikan diri sendiri dalam badannya, dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carbolic acid (THC) dan Ketamine.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




