razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi banjir gelombang kedua yang mula melanda beberapa negeri ketika ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, ia turut disokong kekuatan aset darat, air dan udara bagi digunakan dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
Katanya, dengan beberapa sesi latihan dan modul kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), pegawai serta anggota berada dalam keadaan bersedia sepanjang musim banjir 2025/2026.
“Secara keseluruhan, kami mempunyai 15,392 anggota di seluruh negara yang boleh digerakkan. Kami juga memiliki 789 aset berasaskan darat, 1,121 aset operasi air dan lebih 20 dron untuk sokongan operasi udara bagi pengawasan semasa kerja menyelamat.
“Aspek penyelenggaraan turut diberi penekanan apabila semua aset operasi dipastikan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Coway Misi Bantuan Banjir di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.
Mengulas situasi semasa, Ghazali berkata, laporan diterima daripada semua pengarah APM negeri menunjukkan keadaan masih terkawal.
“Berdasarkan pengalaman gelombang pertama, mereka sudah tahu berapa petugas perlu digerakkan, aset apa yang digunakan dan bagaimana pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, APM turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan setiap kali PPS dibuka, petugas APM akan dihantar untuk membantu pengurusan dan kebajikan mangsa banjir.
Menurutnya lagi, anggota dari negeri yang tidak terjejas banjir juga akan digerakkan untuk membantu kawasan terjejas sekiranya keadaan memerlukan.
“Pengurusan bencana dipusatkan di Pusat Kawalan Operasi Bencana, bagi memastikan semua operasi menyelamat, pemindahan dan bantuan mangsa dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




