Isaac Voo lancar single kedua bahasa Melayu berjudul SINGA

Isaac Voo lancar single kedua bahasa Melayu berjudul SINGA

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi K-Pop kelahiran Malaysia, Isaac Voo, 31, menutup tirai tahun ini dengan melancarkan single kedua bahasa Melayu berjudul SINGA sekali gus pencapaian dalam karier seni serta komitmennya mendekati peminat tempatan dan serantau.

Isaac yang juga anggota SKYE (IN2IT) di Korea Selatan berkata, Disember adalah bulan yang sangat istimewa dalam kehidupan dan kerjaya seninya.

Selain meraikan ulang tahun kelahirannya pada tanggal 12 Disember, single keduanya juga dilancarkan pada bulan ini.

“Menyambut hari lahir dan pada masa sama melancarkan single kedua berjudul SINGA adalah satu pencapaian peribadi dan hadiah bermakna buat saya kepada peminat.

“Ini adalah lagu Melayu kedua dan ia adalah hadiah terbesar saya buat peminat serta industri muzik yang sentiasa menyokong perjalanan karier seni,” katanya.

Sebelum ini, Isaac pernah tampil dengan single bahasa Melayu pertama berjudul Time Bomb pada 2022.

Mengulas lanjut, kata Isaac, dia juga berharap stesen radio dan pihak media akan terus memberi ruang serta peluang kepadanya untuk mengembangkan bakat sedia ada.

“Saya juga terbuka untuk meneroka bidang lain dalam industri kreatif dan bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah, lakonan serta cabang seni lain pada masa akan datang,” katanya.

Terinspirasi daripada simbolik singa, lagu ini mengetengahkan tema kekuatan, keyakinan diri, keberanian dan kepercayaan kepada potensi diri tanpa batasan.

Gabungan lirik pelbagai bahasa dengan susunan muzik bertenaga menjadikan single SINGA cerminan perjalanan Isaac sebagai seorang artis yang berani menentukan hala tujunya sendiri.

SINGA diterbitkan oleh pihak pengurusannya, Prodigee Asia Talent (PAT) dengan lirik dan komposisi oleh Dari, Shazriq Azeman dan Iqie Hugh serta proses adunan dan mastering oleh Cheng Lee dan Elaine Soong.

Single ini dilancarkan secara rasmi hari ini di semua platform penstriman digital.

Manakala, video muzik rasminya pula ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Isaac jam 8 malam ini.

Sementara itu, sempena pelancaran single SINGA dan penghargaan kepada peminat, Isaac akan mengadakan mini showcase dan fan meeting 2025 (sesi bertemu peminat) pada 21 Disember jam 2 petang bertempat di Pickle Space, Subang USJ dengan kadar bayaran RM88.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top