Sempat maklum tugasan selesai sebelum rebah atas stereng lori

am@hmetro.com.my

Melaka: “Dia sempat hantar mesej WhatsApp dalam ‘group’ kerja memaklumkan sudah selesai tugasan, namun selepas itu arwah tiba-tiba terlentok di atas stereng lori,” kata Mohamed Rafiq Sulaiman, 45.

Dia menceritakan semula kejadian rakannya yang juga pemandu lori sisa buangan meninggal dunia selepas rebah di dalam kenderaan itu kira-kira 1.30 tengah hari tadi di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, di sini.

Menurut Mohamed Rafiq, kejadian disedari pekerja lain dan mereka segera mengeluarkan arwah rakannya dari tempat duduk pemandu dan membaringkannya di kawasan lapang.

“Pada 1.20 tengah hari, dia hantar mesej bergambar dalam ‘group’ kerja yang menunjukkan dia sudah selesai menjalankan tugas (buang sisa).

“Tidak lama lepas itu, kejadian berlaku yang mana kami sangka dia diserang sawan.. ia agak mengejutkan.

“Rakan-rakan yang nampak segera membaringkan arwah, namun ketika itu dia mungkin sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, Allahyarham disifatkan sebagai rakan yang baik, berusia lingkungan 40-an dan tidak merokok.

Mohamed Rafiq berkata, Allahyarham juga pernah mengambil cuti sakit kira-kira dua minggu lalu selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas.

“Selepas rawatan, dia kembali bekerja semula dan kali terakhir saya bertemunya pada Sabtu lalu. Pagi tadi arwah hadir di cawangan syarikat di Malim untuk meneruskan tugasnya… tiada tanda dia sedang sakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas yang dihubungi memaklumkan kenyataan lanjut berhubung kejadian akan dikeluarkan kemudian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top