Jika itu mayat Suri, sedih kami bukan kepalang – Jue

Jika itu mayat Suri, sedih kami bukan kepalang – Jue

am@hmetro.com.my

Seremban: “Jika betul itu Suri, saya kehilangan seorang kawan yang pemurah dan suka membantu,” kata seorang wanita yang dikenali Jue, 53.

Difahamkan, proses bedah siasat terhadap mayat wanita yang ditemui disumbat dalam beg dan ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas di sini, semalam, selesai petang semalam.

Namun, sehingga jam 4 petang semalam, belum ada proses pengecaman mayat dibuat oleh mana-mana ahli keluarga mangsa.

Kira-kira jam 11.15 pagi, beberapa ahli keluarga dan rakan mangsa tiba di perkarangan Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini.

Dia yang juga rakan sekampung kepada mangsa memberitahu, mereka bersama-sama datang ke Semenanjung Malaysia dari Kuching, Sarawak dan bekerja di sini.

“Dia yang datang dulu, baru saya pula datang ke Semenanjung. Kami sekampung dan rapat sejak dari zaman muda.. kami sangat rapat.

“Di sini kami selalu berhubung dan dia sangat disayangi rakan-rakan kerana suka membantu. Dia juga seorang yang pemurah,” katanya ketika ditemui wartawan.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut kerana proses pengecaman belum dibuat bagi mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah rakannya yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Tambahnya, laporan polis sebelum ini dibuat anak saudara mangsa yang berusia 30 tahun dan bukannya ibu saudara seperti yang dilaporkan media, kelmarin.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Izham Jaafar berkata, suspek pertama yang ditahan disyaki rakan kepada beberapa individu yang dikenalpasti terbabit dalam kes ini.

“Ketika ini pihak polis masih lagi mengesan beberapa individu yang disyaki terbabit dalam kes ini termasuk suspek utama untuk siasatan lanjut.

“Buat masa ini juga pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengenai perkara sebenar yang berlaku. Belum boleh didedahkan punca kejadian dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak pemilik rumah di mana mayat mangsa ditemui memaklumkan, dia sangat terkejut selepas mengetahui kediaman berkenaan menjadi lokasi jenayah kerana ia sudah tidak berpenghuni sejak dua tahun lalu.

Dia yang berusia 31 tahun berkata, ibu saudaranya menghubunginya kira-kira jam 4 pagi semalam, memaklumkan polis mahu meminta kebenaran untuk buat pemeriksaan di rumah berkenaan.

“Masa itu saya tidak tahu lagi kenapa polis mahu buat pemeriksaan. Sekitar jam 7 pagi, ibu saudara hubungi sekali lagi dan beritahu secara lebih lanjut.

“Kemudian saya keluar rumah untuk menghantar kunci dan tiba kira-kira jam 9 pagi. Ketika itu sudah ramai anggota polis berada di kawasan hadapan rumah,” katanya.

Jelas anak ketujuh daripada 10 beradik itu, kali terakhir dia datang ke rumah itu pada 4 Disember lalu selepas pulang ke Rembau untuk mengambil barang.

“Pada waktu itu memang tiada apa-apa yang curiga. Macam biasa sahaja keadaan rumah ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top