Kuala Lumpur: Pasukan lacrosse lelaki kebangsaan mencipta sejarah selepas meraih pingat gangsa pada Sukan Lacrosse Asia 2026 di Chengdu, China minggu lepas, sekali gus mencatat pencapaian terbaik negara dalam kejohanan benua itu.
Malaysia menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Arab Saudi 15-10 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sabtu lalu.
Kapten pasukan Rashid Shukor menyifatkan pencapaian itu sebagai detik membanggakan buat seluruh komuniti lacrosse Malaysia termasuk mereka yang telah menyumbang kepada perkembangan sukan itu sejak sekian lama.
“Saya tidak pernah berasa lebih bangga menyarung jersi ini. Kami menyertai kejohanan dengan skuad kerdil dan kami berjaya membawa pulang pingat gangsa. Pingat ini milik setiap pemain, jurulatih dan sukarelawan yang telah menyumbang kepada lacrosse Malaysia. Kami membuktikan sesuatu hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Michael Wilder memuji pemainnya kerana menyempurnakan strategi permainan dengan berkesan di bawah tekanan sepanjang kejohanan.
“Pemain melaksanakan strategi permainan kami dengan cemerlang. Kami datang ke sini dengan matlamat yang jelas dan berjaya mencapainya. Menjelang Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28), ini adalah momentum yang kami perlukan dan kami berhasrat untuk membinanya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Lacrosse Malaysia Jake Iskandar Marr berkata pencapaian itu mencerminkan usaha bertahun-tahun dalam membangunkan sukan itu dari peringkat asas di sebuah negara yang sebelum ini lacrosse agak tidak dikenali.
“Sejak memperkenalkan sukan yang kebanyakan rakyat Malaysia tidak pernah dengar sehingga berdiri di podium di Chengdu, ia adalah satu perjalanan yang amat kami banggakan. Apa yang menanti di hadapan lebih mengujakan kami,” katanya.
Lacrosse, sukan yang berasal daripada tradisi Orang Asli Amerika Utara berkembang pesat di seluruh dunia dengan format enam sebelah (Sixes) dijadualkan membuat penampilan pertama pada LA28.
Menurut kenyataan itu, kejayaan meraih pingat gangsa mengukuhkan kredibiliti Malaysia dalam usaha memburu kelayakan ke Sukan Olimpik dan menonjolkan peningkatan daya saing pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.
Pasukan negara seterusnya dijadualkan beraksi pada Kejohanan Lacrosse Sixes Asia-Pasifik di Sunshine Coast, Australia pada Oktober ini, satu langkah penting dalam laluan ke LA28.
Sehubungan dengan itu, Persatuan Lacrosse Malaysia menyeru sokongan berterusan daripada kerajaan, badan sukan dan orang ramai bagi mengekalkan momentum pasukan dalam usaha memburu kelayakan Sukan Olimpik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




