Suami maut, isteri parah, motosikal kuasa tinggi rempuh SUV buat pusingan U tiba-tiba

Suami maut, isteri parah, motosikal kuasa tinggi rempuh SUV buat pusingan U tiba-tiba

am@hmetro.com.my

Jerantut: Kakitangan Hospital Jerantut maut, manakala isterinya parah selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki pasangan terbabit merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut – Temerloh, dekat Kampung Tebing Tinggi, di sini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mohd Azahari Muhktar, berkata nahas berlaku jam 6.25 petang apabila motosikal terbabit terlanggar SUV dipandu seorang lelaki berusia 73 tahun, yang membuat pusingan U secara mengejut di jalan lurus.

Menurutnya, ketika kejadian dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian SUV itu membuat pusingan U secara tiba-tiba dan menyebabkan motosikal itu terlanggar kenderaan berkenaan.

“Berdasar siasatan awal nahas berlaku kerana kecuaian pemandu SUV membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azahari berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal Noor Aizat Abu Bakar, 44, meninggal dunia di tempat kejadian dan isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, parah serta sedang dirawat di Hospital Jerantut.

Menurutnya, Noor Aizat adalah kakitangan Hospital Jerantut dan pasangan terbabit berasal dari Taman Gemilang Emas, di sini.

Katanya, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top