Ramai yang terinspirasi apabila melihat artis Hollywood muncul semakin kurus dalam masa singkat. Bermula dengan perkongsian Whoopi Goldberg mengenai penggunaan Mounjaro, trend suntikan penurunan berat badan yang digelar sebagai ‘magic pen’ kembali menjadi tumpuan ramai.
Beberapa selebriti popular lain seperti Sharon Osbourne, Rebel Wilson, Kelly Clarkson dan Charles Barkley juga dikatakan menggunakan suntikan jenis GLP-1 bagi membantu menguruskan berat badan mereka.
Namun, menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, fenomena ini kini bukan lagi sekadar trend luar negara, sebaliknya sudah mula mempengaruhi masyarakat tempatan yang meniru tanpa memahami risiko sebenar.
*Foto pasangan sebelum dan selepas adalah janaan AI.
“Bila nampak selebriti Hollywood kurus dan kelihatan cantik, ramai yang rasa mahu ikut juga.
“Cuma bezanya, di luar negara penggunaan suntikan ini dikawal ketat dan tidak dijual sesuka hati kerana melibatkan risiko kesihatan.
“Apa yang membimbangkan di Malaysia, ‘magic pen’ kini dijual secara terbuka di media sosial, siap tawaran COD. Ada pula pihak termasuk klinik dan farmasi berlumba-lumba menjual seperti produk biasa.
“Ini isu besar kerana ia ubat suntikan yang memberi kesan terus kepada badan,” katanya.

Menurut Dr Afif, setiap individu mempunyai tahap kesihatan berbeza dan apa yang sesuai untuk selebriti tidak semestinya sesuai untuk orang lain.
“Selebriti ada doktor pakar, pemantauan profesional dan rawatan susulan. Orang kita pula hanya lihat keputusan sebelum dan selepas, lalu anggap semuanya selamat. Meniru tanpa nasihat doktor boleh membawa padah,” ujarnya.
Ubat ini merujuk kepada suntikan GLP-1 seperti Ozempic, Wegovy dan Mounjaro bagi kawalan gula darah dan penurunan berat badan. Namun Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain menegaskan bahawa apa yang dipaparkan di media sosial hanyalah hasil luaran.
“Dalam perubatan tiada istilah magis. Ini ubat yang mempengaruhi hormon badan. Jika digunakan tanpa pemeriksaan dan pemantauan, risiko kesan sampingan sangat besar. Tidak semua orang sesuai untuk menggunakannya,” katanya.
Dr Afif turut mengingatkan bahawa tubuh badan adalah amanah dan tidak wajar dipertaruhkan hanya kerana ingin kelihatan cantik.
“Islam tidak menggalakkan kita mencederakan diri sendiri. Lebih berbahaya jika produk yang dibeli tidak berdaftar atau diragui sumbernya.
“Bila sudah disuntik ke dalam badan, ia bukan lagi isu kosmetik. Ia melibatkan kesihatan dan juga hukum syubhah atau haram,” katanya.
Sebagai nasihat, Dr Afif meminta orang ramai agar tidak terlalu terpengaruh dengan imej selebriti.
“Saya tidak kata semua orang perlu menolak suntikan ini. Jika benar perlu atas nasihat doktor, teruskan.
“Tetapi asas penurunan berat badan tetap sama iaitu kalori defisit, gaya hidup sihat, kawalan pemakanan dan aktiviti fizikal. Kesihatan bukan eksperimen dan badan bukan tempat cuba-cuba,” katanya.




