Paris: Ousmane Dembele menamatkan kemarau jaringannya apabila Paris Saint Germain (PSG) melangkah mudah ke pusingan 32 terakhir Piala Perancis selepas membelasah kelab divisyen lima, Vendee Fontenay, 4-0.
Penyerang berusia 28 tahun itu, yang minggu ini menambah anugerah FIFA Best kepada koleksi Ballon d’Or, meledak gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan yang berlangsung di Stade de la Beaujoire, Nantes.
PSG memburu gelaran berganda, liga dan piala Perancis buat kali ketiga berturut-turut musim ini, namun ketika ini berada di tangga kedua Ligue 1, satu mata di belakang pendahulu mengejut, Lens.
Dembele mencipta bantuan gol buat Desire Doue yang membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi penyudah tenang ke penjuru jauh.
PSG kemudian dihadiahkan penalti susulan kekasaran tarik baju ke atas Goncalo Ramos, dengan Dembele menyempurnakan sepakan itu untuk gol pertamanya sejak Oktober, sekali gus menamatkan lapan perlawanan tanpa jaringan.
Ia juga hanya gol keempat Dembele musim ini selepas sering dibelenggu kecederaan.
“Ia penting untuk mendapatkan minit permainan, terutama pemain yang baru pulih daripada kecederaan. Dia beraksi dengan baik dan bermain selama 60 minit,” kata pengendali PSG, Luis Enrique.
Ramos menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-53 selepas menyudahkan hantaran rendah Senny Mayulu hasil gerakan pantas berpasukan, sebelum menambah satu lagi gol lima minit kemudian.
Dalam perlawanan lain, Lille memerlukan jaringan lewat minit ke-80 daripada Marius Broholm untuk menewaskan Creteil 1-0, manakala Lorient membelasah AS Le Gosier 7-0 dalam aksi yang berlangsung di pinggir bandar Paris.
© New Straits Times Press (M) Bhd
