Juve tundukkan Roma, kembali intai gelaran

Juve tundukkan Roma, kembali intai gelaran

Turin: Juventus kembali menyelinap ke dalam perebutan kejuaraan Serie A selepas menewaskan Roma 2-1 secara di Turin, sekali gus merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.

Gol Francisco Conceicao dan Lois Openda memutuskan pertemuan menarik itu, dengan Juve meraih kemenangan besar kedua berturut-turut selepas menewaskan Bologna minggu lalu.

Juve kekal di tangga kelima dengan 29 mata, namun hanya satu mata di belakang Roma yang menghuni kedudukan keempat, slot terakhir Liga Juara-Juara dan kekalahan itu menjadi yang keenam Roma dalam liga musim ini.

“Saya rasa kami memang layak menang. Kami tahu perlawanan hari ini penting dan kami melakukan apa yang dirancang, kami menang,” kata Conceicao.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik selepas dua kemenangan penting ini, tetapi kami perlu fokus sepenuhnya kepada perlawanan seterusnya.”

Anak buah Luciano Spalletti sudah beraksi satu perlawanan lebih berbanding Inter, juara bertahan Napoli dan AC Milan yang menghuni tiga tangga teratas, dengan aksi pusingan ini hanya dimainkan bulan depan berikutan penganjuran Piala Super Itali di Arab Saudi.

Roma pula gagal mencipta banyak peluang di Stadium Allianz, selain jaringan Tommaso Baldanzi 15 minit sebelum tamat perlawanan.

Kelab ibu kota itu kini tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka dalam Serie A.

“Kami kurang tepat pada sentuhan akhir, namun saya mahu memberi fokus kepada beberapa persembahan positif hari ini,” kata pengendali Roma, Gian Piero Gasperini.

“Bukan mudah bermain di sini, tetapi ini pasukan yang baik dengan asas kukuh dan saya yakin kami boleh mencapai sesuatu.”

Roma musim ini tewas tipis kepada Juve, dua kelab Milan dan Napoli, sekali gus memberi gambaran mereka masih belum benar-benar bersedia untuk mencabar gelaran Scudetto, meskipun hanya tiga mata memisahkan mereka dengan pendahulu liga.

“Kami masih di peringkat permulaan. Kelab ini kukuh dan skuad memiliki pemain yang membuktikan mereka berada pada tahap diperlukan dalam perlawanan besar,” tambah Gasperini.

“Saya fikir kami boleh bina sesuatu berdasarkan apa yang kami ada sekarang.”

Conceicao terlebih dahulu memberi amaran apabila percubaannya tepat ke arah penjaga gol Mile Svilar sebelum membuka jaringan seminit sebelum rehat, menyempurnakan sentuhan kemas Andrea Cambiaso dengan rembatan kaki kiri.

Svilar tampil cemerlang untuk Roma, namun tidak mampu menghalang jaringan kedua Juve oleh Openda pada minit ke-70 selepas menepis tandukan Weston McKennie.

Gol itu hampir memastikan kemenangan Juve, namun Baldanzi pantas merapatkan jurang selepas penjaga gol Michele Di Gregorio menepis rembatan rendah Evan Ferguson.

Juve hampir menambah jaringan pada minit ke-80 apabila Kenan Yildiz melepaskan rembatan cantik yang terkena tiang, sebelum tuan rumah bertahan hingga wisel penamat untuk meraih tiga mata berharga.

Dalam satu lagi perlawanan, Lazio terikat tanpa jaringan menentang Cremonese di Rome.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top