am@hmetro.com.my
Ipoh: Kesesakan trafik menjangkau 20 kilometer (km) berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laluan antara Ipoh-Simpang Pulai susulan kemalangan membabitkan lori tangki dan tiga kereta di KM 281.5, di sini hari ini, yang mengakibatkan dua cedera.
Ia susulan kemalangan itu mengakibatkan lori tangki tanpa muatan yang dalam perjalanan menghala arah Selatan lebuh raya, melintang di tengah lebuh raya hingga menyebabkan beberapa lorong terhalang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan empat kenderaan itu tercetus apabila lori tangki berkenaan yang dipandu lelaki, 33, mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan lori tangki melanggar sisi kiri sebuah Honda City yang ketika itu berada di lorong kanan, sebelum ia hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang jalan.
Menurutnya, ia lalu menyebabkan tanker itu masuk ke arah bertentangan lebuhraya hingga menyebabkan ia melanggar pula dua kereta masing-masing sebuah Toyota Vios dan Isuzu Dmax yang berada di laluan menghala Utara.
“Dalam kemalangan ini, dua individu yang berada dalam kereta Honda City masing-masing berusia 41 dan kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun mengalami kecederaan masing-masing di kepala dan tangan, manakala semua mangsa lain tidak cedera.
“Dua mangsa yang cedera dibawa menaiki ambulans ke hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal berkata, insiden berlaku di lokasi jalan dua lorong lurus yang terdapat penghadang jalan besi yang memisahkan laluan lebuh raya menghala utara dan selatan, dengan keadaan jalan adalah kering dan cuaca cerah serta baik.
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan kemalangan itu menyebabkan lori tanker melintang di tengah lebuh raya hingga beberapa lorong terhalang.
Kemaskini keadaan trafik oleh PLUS setakat jam 3.25 petang ini menyatakan insiden itu selesai dengan semua lorong sudah dibuka kembali namun trafik masih perlahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




