Seniman ziarah pusara Allahyarham Nadia Kesuma

Seniman ziarah pusara Allahyarham Nadia Kesuma

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah berkesempatan menziarahi pusara Allahyarham Nadia Kesuma di Dhaban New Cemetery di Jeddah, Arab Saudi, di sini, baru-baru ini.

Menurut Hafiz, kehadirannya ke pusara berkenaan sebagai tanda ingatan dan penghormatan tertinggi daripada seluruh pimpinan serta ahli persatuan terhadap sumbangan arwah.

“Saya mewakili kepimpinan tertinggi, barisan exco dan seluruh ahli Seniman hadir ke Dhaban New Cemetery, Jeddah pada 18 Jun lalu.

“Ziarah itu adalah sebagai tanda ingatan dan penghormatan Seniman terhadap usaha dan pengorbanan arwah Nadia bersama persatuan selama ini.

“Allahyarham Nadia sering kali terbabit dalam pelbagai acara dan program di mana ketika hayatnya, beliau adalah ahli yang sangat aktif dalam berpersatuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kehilangan Allahyarham Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kesumawati Abdul Karim disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat seluruh warga industri seni tanah air.

Dalam pada itu, Seniman merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu merealisasikan hasrat untuk menziarahi pusara arwah.

“Seluruh ahli Seniman mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, dilapangkan kuburnya serta ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman dan beramal soleh di syurga,” katanya.

Terdahulu, peminat dikejutkan apabila Nadia gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Arab Saudi ketika dalam perjalanan mengerjakan umrah di tanah suci.

Bagaimanapun, misteri kehilangan Allahyarham Nadia terjawab apabila beliau disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Jeddah pada 18 Januari lalu.

Difahamkan, Hafiz mengambil peluang menziarahi kubur Allahyarham kerana menggalas tanggungjawab sebagai petugas haji, baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top