Jesus bakal perkasa taring Arsenal lawan Palace

Jesus bakal perkasa taring Arsenal lawan Palace

London: Mikel Arteta sedia menurunkan Gabriel Jesus dalam kesebelasan utama Arsenal buat kali pertama dalam hampir setahun pada suku akhir Piala Liga Inggeris menentang Crystal Palace, awal pagi Rabu ini.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan menerima kunjungan pasukan kendalian Oliver Glasner di Emirates, dengan Arsenal terdesak untuk menamatkan kemarau trofi kelab yang sudah berlarutan selama enam tahun.

Jesus menjaringkan hatrik ketika Arsenal menewaskan Palace pada suku akhir musim lalu sebelum mereka tersingkir di separuh akhir kepada Newcastle.

Bagaimanapun, penyerang Brazil itu terpaksa berehat selama 11 bulan selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kiri.

Selepas membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian, Jesus kini berpeluang diturunkan sebagai pemain utama menentang Palace, ketika Arteta merancang untuk merombak barisan pemain memandangkan Arsenal bakal menghadapi enam perlawanan dalam tempoh 20 hari.

Chelsea menanti pemenang perlawanan ini.

Arteta berkata bekas penyerang Manchester City itu, 28, sudah bersedia untuk memulakan perlawanan.

“Anda boleh lihat sekarang, bukan sahaja dalam perlawanan tetapi setiap hari di latihan, betapa kuat keinginannya. Dia memang layak diberi peluang tidak lama lagi,” kata Arteta.

“Ia satu perjalanan sangat mencabar. Apabila dia menyertai kami, dia meningkatkan keyakinan, semangat dan tenaga pasukan serta membawa sesuatu sangat berbeza daripada apa yang kami ada sebelum ini, dan dia sangat mengagumkan.

“Kemudian dia mengalami beberapa kecederaan serius yang menghalangnya daripada mengekalkan konsistensi kami perlukan daripada seorang pemain yang sangat penting.

“Dia kini kembali dan semangat juangnya, keinginannya untuk sentiasa membuat persiapan terbaik adalah luar biasa. Pasukan kini bersatu dan kami perlu memanfaatkannya.”

Jesus berpotensi menggantikan Viktor Gyokeres yang walaupun menjaringkan gol menerusi penalti dalam kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Everton pada Sabtu, gagal meledak gol daripada permainan terbuka dalam enam penampilan terakhirnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top