mhafis@mediaprima.com.my
Gua Musang: Taktik menjadikan rumah ladang sebagai tempat simpanan spesies burung bernilai tinggi dipercayai hasil pemburuan terbongkar selepas diserbu Ahad lalu.
Tindakan itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 12/2025 Zon Timur.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi pemeriksaan ke atas beberapa rumah itu dijalankan bermula jam 5.30 petang.
“Pemeriksaan ke atas rumah pertama menyita 11 ekor burung, rumah kedua (seekor burung), rumah ketiga (seekor burung), rumah keempat (dua ekor burung), rumah kelima ( seekor burung) dan rumah keenam (dua ekor burung).
“Rampasan membabitkan sembilan ekor murai batu, tujuh ekor merbah luris leher, seekor serindit dan seekor burung daun bernilai RM10,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan itu, enam lelaki tempatan pekerja ladang berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan.
“Semua tangkapan disyaki menjalankan aktiviti menangkap burung untuk tujuan dipelihara dan dijual.
“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646],” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
