SEREMBAN: Sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) kerajaan Negeri Sembilan terdahulu sudah memulangkan peruntukan yang tidak dibelanjakan.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, pemulangan itu termasuk membabitkan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), namun jumlah yang dikembalikan berbeza mengikut baki peruntukan setiap DUN.
Menurutnya, setakat ini hanya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sudah memulangkan keseluruhan peruntukan diterimanya.
“Rekod menunjukkan setakat ini, hanya bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sahaja yang telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima.
“Memang ada yang sudah pulangkan, tetapi mungkin tidak sepenuhnya seperti mana yang disalurkan. Mungkin mereka sudah gunakan untuk bantuan kepada rakyat dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Ketua Kontinjen dan Pengurus Pasukan Negeri Sembilan ke Temasya Para Sukan Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Semalam, Ismail mengarahkan semua ADUN dan penyelaras DUN PH kerajaan terdahulu memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Jun lalu.
Hari ini, wakil ADUN PH, J.Arul Kumar berkata, semua peruntukkan tersebut sudah dibelanjakan bagi tujuan kebajikan rakyat malah ada yang telah menggunakan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Arul Kumar menjelaskan kesemua baki dan laporan kewangan peruntukan tersebut suda dipulangkan sebelum 10 Julai lalu seperti arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.
Dalam pada itu, Ismail yang juga ADUN Juasseh berkata, Pejabat Menteri Besar kini sedang meneliti rekod peruntukan setiap ADUN PH terbabit bagi menentukan jumlah baki yang masih perlu dipulangkan.
Beliau berkata, jumlah yang perlu dipulangkan setiap ADUN adalah berbeza bergantung kepada baki peruntukan masing-masing berdasarkan rekod kerajaan negeri.
“Surat yang akan dihantar ini nanti tidak sama bagi setiap orang. Ada yang mungkin perlu pulangkan penuh dan ada yang kurang, semuanya bergantung kepada baki setiap DUN masing-masing berdasarkan rekod yang kita simpan,” katanya.-UTUSAN
