London: Chelsea membuat pertanyaan mengenai kemungkinan menandatangani penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo, pada Januari depan.
The Blues sedang meneliti syarat bagi kemungkinan perpindahan itu dan muncul antara beberapa kelab yang berminat.
Manchester United, Manchester City dan Liverpool adalah kelab lain yang berminat, dengan Semenyo mempunyai klausa pelepasan bernilai £65 juta (RM356.40 juta) dalam kontraknya yang akan aktif pada 1 Januari.
Man Utd dan Man City masih berada di hadapan kelab lain dan kekal bersaing rapat untuk menandatangani pemain itu.
Ruben Amorim menggambarkan Semenyo sebagai pemain istimewa menjelang perlawanan menentang Bournemouth, apabila pemain antarabangsa Ghana itu menjaringkan gol ketika seri 4-4 di Old Trafford, 16 Disember lalu.
Tetapi, Liverpool masih berminat dan difahamkan sedang mempertimbangkan pilihan mereka susulan kecederaan penyerang, Alexander Isak.
Spurs berminat dengan penyerang Bournemouth itu pada musim panas dan awal musim ini, tetapi kini bergerak ke sasaran lain dan sudah tersingkir daripada persaingan.
Semenyo, 25, menjaringkan lapan gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, termasuk dalam dua perlawanan terakhir Bournemouth.
Mengulas mengenai masa depan Semenyo, pengurus Bournemouth, Andoni Iraola berkata: “Antoine Semenyo sekarang bersama kami. Dia bermain dengan sangat baik. Kebimbangan saya ialah ia tidak menjejaskannya.
“Dia telah bermain dengan sangat baik, komited kepada pasukan dan saya harap kami dapat mengekalkannya. Ada perkara yang berlaku di luar kawalan kami.
“Antoine menunjukkan prestasi yang sangat baik. Tahap konsistensinya sangat baik sejak permulaan musim. Dia sangat berharga bagi kami, bukan sekadar dari segi angka, tetapi banyak perkara lain.
“Anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku. Pada musim panas, banyak pergerakan berlaku. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada pergerakan musim sejuk nanti.
“Pada akhirnya, anda menandatangani kontrak dan memahami bahawa kedua-dua pihak berpuas hati.
“Saya harap kami tidak kehilangannya, tetapi saya tidak tahu, saya tidak boleh mengawal apa yang akan berlaku.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



