UNCAC: Malaysia tegas komitmen banteras rasuah, pembaharuan tadbir urus, integriti

UNCAC: Malaysia tegas komitmen banteras rasuah, pembaharuan tadbir urus, integriti

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Malaysia menegaskan komitmen berterusan negara terhadap pelaksanaan menyeluruh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) sebagai kerangka utama dalam agenda pembaharuan tadbir urus, pengukuhan integriti dan kerjasama antarabangsa dalam membanteras rasuah.

Ia disampaikan dalam Pernyataan Nasional oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyertai Conference of the States Parties (CoSP) UNCAC kali ke-11 yang berlangsung dari di Doha, Qatar baru-baru ini.

Delegasi SPRM diketuai Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim, yang hadir mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Dalam pernyataan itu, Malaysia menekankan beberapa inisiatif penting di peringkat nasional, termasuk pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memperkukuh perlindungan lebih menyeluruh kepada pemberi maklumat, cadangan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat bagi menggalakkan tahap keterbukaan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam pentadbiran kerajaan.

Inisiatif lain ialah penggubalan Akta Perolehan Kerajaan bagi meningkatkan ketelusan dan mengurangkan risiko rasuah dalam perolehan awam serta pelaksanaan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan pada 1 Oktober 2025 sebagai usaha berasaskan nilai untuk memupuk budaya integriti dan pembabitan masyarakat secara menyeluruh.

Malaysia juga menegaskan kejayaan berterusan dalam pemulihan aset dengan lebih RM31 bilion dana awam berjaya diperoleh semula hasil kerjasama erat dengan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama rentas sempadan berasaskan kepercayaan yang menjadi teras kejayaan ini.

Selain itu, Malaysia memaklumkan penyertaan aktif dalam mengemukakan dua dokumen sebagai Conference Room Papers (CRP) iaitu Putrajaya Declaration of Southeast Asia Anti-Corruption Agencies serta Pelan Tindakan ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) 2026-2028 bagi persidangan kali ini yang mencerminkan komitmen serantau terhadap pengukuhan kerjasama, pembangunan kapasiti dan perkongsian maklumat.

Selain penyampaian Pernyataan Nasional, Malaysia juga membuat intervensi di bawah item agenda Technical Assistance, Prevention, Asset Recovery dan International Cooperation, yang menekankan pendekatan menyeluruh negara dalam memperkukuh pencegahan rasuah, meningkatkan kerjasama rentas sempadan serta memperkasa keupayaan institusi melalui bantuan teknikal yang bersasar dan mampan.

Sepanjang persidangan, delegasi SPRM turut mengadakan sesi perbincangan bilateral dengan beberapa organisasi antarabangsa dan agensi antirasuah antaranya International Anti-Corruption Academy (IACA); Basel Institute on Governance, Extractive Industries Transparency Initiative (EITI); Law Enforcement Academy of the Republic of Uzbekistan; Anti-Corruption Agency (ACA) Kazakhstan; Delegasi Bangladesh daripada Anti-Corruption Commission (ACC); Financial Intelligence Unit (FIU) dan Polis, Zimbabwe Anti-Corruption Commission (ZACC) dan National Anti-Corruption Commission (NACC) Australia bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pencegahan, penguatkuasaan serta pembangunan kapasiti antirasuah.

Delegasi SPRM turut mengadakan sesi perbincangan dengan UK Home Office berkaitan jemputan untuk menyertai inisiatif Data Transparency in Asset Recovery and Return. Sokongan Malaysia terhadap inisiatif ini dimasukkan dalam collective plenary statement yang disampaikan oleh Kerajaan United Kingdom.

Persidangan CoSP UNCAC adalah forum tertinggi di bawah UNCAC yang diadakan secara dwitahunan, menghimpunkan negara-negara anggota, organisasi antarabangsa serta pihak berkepentingan untuk menilai pelaksanaan konvensyen, memperkukuh kerjasama antarabangsa dan merangka hala tuju global dalam memerangi rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top