MB Negeri Sembilan pegang tiga portfolio

MB Negeri Sembilan pegang tiga portfolio

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengetuai tiga portfolio utama dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal baharu 2026-2031.

Beliau mengetuai Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Asli; serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan FELDA.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu turut mengumumkan lantikan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk mengekalkan dua EXCO iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Datuk Mustapha Nagoor (Palong).

Mohd Faizal dilantik EXCO Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, manakala Mustapha kekal dengan portfolio lama sebagai EXCO Pembangunan Belia dan Sukan.

Pada sidang media selepas istiadat pelantikan dan angkat sumpah tadi, Ismail berkata, barisan EXCO diingatkan supaya memikul amanah diberikan dengan penuh tanggungjawab kerana tugas mentadbir negeri memerlukan komitmen serta kesungguhan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

“Saya yakin dan percaya semua barisan diperkenankan Tuanku (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) faham betapa besarnya tanggungjawab kita untuk menjaga keharmonian dan kemajuan Negeri Sembilan.

“Lebih penting ialah bagi mensejahterakan rakyat yang telah memberi undi dan keyakinan kepada kita,” katanya.

Ketua UMNO Kuala Pilah itu berkata, pihaknya akan melantik seorang pegawai daripada masyarakat India bertaraf EXCO di bawah Pejabat Menteri Besar bagi memastikan komuniti itu turut mempunyai peranan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, jawatan itu akan dilantik dari kalangan pemimpin MIC.

“Usaha kita untuk berikan peluang pelbagai kaum (dalam kerajaan negeri), wakil berkenaan adalah daripada MIC dan nama calon telah dikemukakan oleh parti itu. Kita akan putuskan dalam mesyuarat EXCO nanti,” katanya.

Ismail turut menegaskan bahawabuat masa ini tiada keperluan untuk melantik timbalan EXCO.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan mempertimbangkan pelantikan seorang wakil masyarakat Orang Asli dalam pentadbiran dan akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mendapatkan calon yang sesuai.

Terdahulu kesemua barisan EXCO selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini, tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top