SPRM beri perhatian isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya tidak diduduki, disewakan

SPRM beri perhatian isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya tidak diduduki, disewakan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mencadangkan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) berhubung isu Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) yang tidak diduduki selepas siap dibina.

SPRM dalam kenyataan berkata, antara syor berkenaan termasuk menambah baik butiran kriteria penerima seperti menetapkan pemohon mestilah Ketua Isi Rumah (KIR) dan pemilik rumah daif yang telah diluluskan permohonan perlu merobohkan rumah usang setelah rumah baru siap dibina.

“Selain itu, permohonan tidak akan diluluskan sekiranya pemohon mempunyai sumber pendapatan dan tidak dibenarkan menukar hak milik RMSMJ kepada orang lain kecuali KIR telah meninggal dunia serta hak milik dipindah kepada pewaris.

“Cadangan kedua adalah mewujudkan satu mekanisme pemantauan sebelum, semasa dan selepas pembinaan RMSMJ serta mewujudkan borang permohonan RMSMJ dan memasukkan klausa Peringatan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di dalam borang permohonan RMSMJ.

“Manakala cadangan kelima ialah memberi taklimat dan kefahaman berkaitan garis panduan RMSMJ kepada pihak yang terbabit di dalam program ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

SPRM memaklumkan, cadangan penambahbaikan itu dibuat selepas siasatan awal mendapati beberapa penerima bantuan rumah dalam program RMSMJ tidak menepati rumah berkenaan sebaliknya menyewakannya kepada pihak lain.

Katanya, kesemua syor ini disampaikan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah kepada KPLB dan disambut baik oleh Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Myrna Jimenez dalam sesi pembentangan yang diadakan di pejabat KPLB di sini, semalam.

Sementara itu, Myrna yang menyambut baik cadangan itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan bagi menambah baik kelemahan yang dicadangkan oleh SPRM Sabah.

Turut hadir Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham serta wakil Bahagian Integriti Dan Governans Negeri Sabah, Mohd Jamri Ag Damit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top