Gelaran beregu Korea Masters milik Malaysia

Gelaran beregu Korea Masters milik Malaysia

PETALING JAYA: Dua beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dan Tee Kai Wun-Yap Roy King bertembung sesama sendiri di pentas akhir bagi merebut gelaran pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, esok.

Pasangan pecah ganding, Wei Chong-Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas beregu Jepun sedang meningkat naik, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa 18-21, 22-20, 21-18 dalam masa 59 minit di separuh akhir, hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan Wei Chong-Wooi Yik membalas dendam di atas kekalahan kepada gandingan No. 63 dunia itu di peringkat 32 terbaik pada Terbuka Taiwan, minggu lalu.

Walaupun, kemenangan berpihak kepada pasangan yang kini menghuni ranking ke-160 dunia itu, persembahan yang dipamerkan Wei Chong-Wooi Yik jauh daripada meyakinkan.

Sepanjang pertemuan itu, pengalaman dan status mereka sebagai beregu yang pernah berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bersama gandingan lama tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kerana Kawabe-Matsukawa sentiasa berjaya menghadirkan tekanan.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan pecah ganding, Kai Wun-Roy King pula tidak perlu bermandi keringat untuk mencari slot ke perlawanan akhir, selepas diberi kemenangan percuma oleh Shuji Sawada-Daigo Tanioka juga dari Jepun.

Penarikan diri beregu muda tersebut, telah menemukan Kai Wun-Roy King dengan Wei Chong-Wooi Yik bagi merebut gelaran sulung mereka sejak dipasangkan bersama pada kejohanan berstatus Super 300 itu.

Bagaimanapun, dalam acara perseorangan lelaki, pemain profesional Malaysia, Cheam June Wei terpaksa akur kepada wakil China, Zhu Xuan Chen 8-21, 21-16, 12-21 dalam masa 58 minit.

Kekalahan di tangan pemain muda itu merupakan yang ketiga berturut-turut dan sekali gus menyaksikan June Wei kini mencatat defisit dengan rekod pertemuan 0-3.-UTUSAN

Scroll to Top