'Alhamdulillah saya selamat keluar hospital' – MB Perlis

'Alhamdulillah saya selamat keluar hospital' – MB Perlis

am@hmetro.com.my

Kangar: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat sakit dada sudah dibenarkan pulang petang semalam.

Simptom berkenaan berlaku sejurus pulang daripada urusan luar negara.

Dalam hantaran Facebook (FB), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu menyatakan bahawa beliau sudah pun dibenarkan keluar dari hospital di mana beliau menerima rawatan sebelum ini.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, Alhamdulillah. Saya selamat discharge petang tadi. (semalam).

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya. Mudahan kita semua dikurniakan kerahmatan oleh Allah,” katanya.

Beliau dijangka berehat terlebih dahulu di kediamannya di Kangar sebelum meneruskan tugas rasminya kembali.

Mohd Shukri difahamkan sebelum ini mengadakan lawatan ke Shanghai, China bagi menghadiri Karnival Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai usaha menarik pelaburan dan memperkukuh daya saing perusahaan tempatan di Perlis.

Malah, MIHAS juga dilihat menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China terutama dalam memperluas jaringan serta akses pasaran halal di peringkat global.

Pada 29 September 2019, Mohd Shukri yang ketika itu bergelar Pesuruhjaya PAS Perlis pernah dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri kerana serangan jantung ketika berucap di Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020.

Malah pada ketika ini juga, beliau sedang berhadapan dengan kemelut kepimpinan kerajaan negeri apabila apabila majoriti ADUN Perikatan Nasional (PN) didakwa sudah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya.

Difahamkan, beberapa ADUN PN sudah menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top