Bayangkan selama 10 tahun memuja ‘oppa’ kesayangan, tiba-tiba dunia dikejutkan dengan berita idola itu dituduh menjadi pembunuh kejam. Adakah peminat tegar akan berpaling tadah atau sanggup menggadaikan reputasi serta kerjaya demi mencari kebenaran?
Itulah dilema yang bakal menemui penonton dalam drama terbaharu, IDOL I, yang kini menjadi bualan hangat peminat K-Drama. Menampilkan Choi Soo Young (SNSD), drama ini bukan sekadar kisah mahkamah biasa, tetapi satu naskhah yang menyentuh realiti kehidupan seorang peminat tegar.
Soo Young membawakan watak Maeng Se-Na, seorang peguam terkenal yang digelar ‘peguam untuk penjenayah’ kerana keberanian membela kes-kes berprofil tinggi yang sering dikecam masyarakat.
Namun, siapa sangka di sebalik imej profesional dan tegas itu, Se-Na sebenarnya menyimpan rahsia besar sebagai peminat setia kumpulan Gold Boys selama sedekad.
Konflik bermula apabila vokalis utama kumpulan itu, Do Ra-Ik (lakonan Kim Jae Yeong), ditangkap atas tuduhan pembunuhan misteri.
Demi menyelamatkan lelaki yang menjadi inspirasi hidupnya, Se-Na terpaksa menyembunyikan identiti sebenar sebagai peminat demi memikul tanggungjawab sebagai peguam bela Ra-Ik di mahkamah, sekali gus membawanya ke dalam jaringan rahsia yang tidak disangka.
Drama arahan Lee Gwang-Young ini menawarkan plot menarik kerana menggabungkan elemen mahkamah, misteri dan undang-undang dengan selingan komedi yang segar.
Penonton akan dibawa menyelami sisi gelap dunia K-Pop yang mendedahkan tekanan emosi serta ‘topeng’ kesempurnaan yang terpaksa dipakai oleh bintang popular seperti Ra-Ik demi memenuhi harapan peminat.
Kehebatan lakonan Soo Young dan Kim Jae Yeong tidak perlu disangkal lagi, di mana dinamik hubungan antara peguam dan idola ini pasti mengundang pelbagai emosi.
Malah, kehadiran barisan pelakon popular lain seperti Choi Hee Jin, Kim Hyun Jin, dan Jung Jae Kwang turut mengukuhkan lagi jalan cerita yang penuh dengan debaran serta perjuangan menuntut keadilan.
IDOL I kini boleh disaksikan secara eksklusif dan serentak dengan tayangan di Korea Selatan bermula 22 Disember 2025 di platform penstriman Tonton.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod baharu pada setiap Isnin dan Selasa, jam 10.30 malam.
Adakah Se-Na berjaya membuktikan Ra-Ik tidak bersalah atau mungkinkah ada kebenaran pahit yang bakal terbongkar? Segalanya bakal terjawab hanya di Tonton!
Untuk maklumat lanjut, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




