London: Liverpool akhirnya berpeluang mendapatkan khidmat Dayot Upamecano pada jendela perpindahan Januari ini, berbanding kembali memburu Marc Guehi.
The Reds sebelum ini sering dikaitkan dengan minat terhadap Upamecano sejak dia berpindah dari Red Bull Salzburg ke RB Leipzig pada 2017.
Spekulasi itu berterusan selama empat tahun sebelum Bayern Munich bersetuju mendapatkan pemain antarabangsa Perancis berkenaan, yang menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab gergasi Jerman itu pada musim panas 2021.
Kini, empat setengah tahun sudah berlalu dan kontrak baharu masih belum dimeterai. Jika situasi itu tidak berubah sebelum Hari Tahun Baharu, Upamecano boleh menandatangani perjanjian pra-kontrak dengan mana-mana kelab luar negara.
Liverpool cukup arif mengenai situasi itu susulan perpindahan Trent Alexander-Arnold yang membayangi jendela perpindahan musim sejuk mereka sebelum ini.
Mohamed Salah dan Virgil van Dijk juga berada dalam keadaan sama Januari lalu, namun akhirnya menandatangani lanjutan kontrak pada musim bunga.
Musim sejuk kali ini menyaksikan tumpuan diberikan kepada posisi pertahanan tengah apabila Guehi, Ibrahima Konate dan Upamecano memasuki enam bulan terakhir kontrak masing-masing.
Guehi hampir menyertai Liverpool pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu, namun tiada jaminan rundingan bersama Crystal Palace akan dihidupkan semula pada bulan pertama 2026.
Masa depan Konate juga masih belum pasti apabila Bayern Munich dan Paris Saint-Germain dilaporkan berminat mendapatkan pemain itu, manakala Real Madrid dikatakan menarik diri daripada sebarang usaha perpindahan.
Bayern juga dilaporkan meminati Guehi, dengan Manchester City turut dikaitkan. Minat kelab dari Bavaria itu dilihat bergantung kepada kesediaan mereka melepaskan Upamecano.
PSG dan Real Madrid turut dikaitkan dengan Upamecano, namun beberapa minggu lalu muncul laporan mendakwa rundingan kontrak baharu hampir mencapai persetujuan.
Persaingan Liverpool untuk mendapatkan dan menandatangani Upamecano juga berpotensi meyakinkan Konate untuk terus kekal di Anfield.
Kedua-duanya pernah bergandingan di benteng Leipzig dan masih kadangkala beraksi bersama dalam skuad kebangsaan Perancis, selain pernah bermain bersama skuad bawah 21 tahun.
Eurosport France pada Mac 2023 pernah meminta Konate membandingkan Upamecano dan Virgil van Dijk. Sambil ketawa, Konate menjawab: “Soalan apa itu? Kamu tidak boleh bandingkan kedua-duanya.
“Dengan Upamecano, kami berada dalam kategori sama, walaupun dia pesaing bertaraf tinggi. Tetapi Van Dijk, saya letakkan dia di planet yang berbeza.
“Kami masih jauh untuk mencapai apa yang dia lakukan. Walaupun begitu, kami akan sampai ke tahap itu satu hari nanti, saya tidak ragu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




