JPJ bekerjasama dengan NFCC siasat majikan menggaji pemandu kenderaan komersial warga asing

JPJ bekerjasama dengan NFCC siasat majikan menggaji pemandu kenderaan komersial warga asing

am@hmetro.com.my

Kajang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi mengambil tindakan bersepadu terhadap majikan yang menggajikan pekerja asing sebagai pemandu kenderaan komersial secara tidak sah.

Pihak yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikenakan tindakan tegas termasuk disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, susulan operasi menerusi Op Pemandu Warga Asing (PEWA) mendapati ramai pemandu asing yang ditahan diambil bekerja oleh syarikat tempatan bagi mengurangkan kos tenaga kerja.

“Trend itu amat membimbangkan dan terdapat majikan yang secara sedar menggaji pekerja asing tanpa lesen vokasional yang sah kerana kosnya lebih murah. Keuntungan tidak seharusnya mengatasi aspek keselamatan awam,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasaan JPJ Semenyih, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama dengan NFCC itu juga membolehkan pihak berkuasa meneroka pendekatan penguatkuasaan lebih menyeluruh termasuk siasatan kewangan serta kemungkinan kesalahan berkaitan penggajian tidak sah.

“Bidang kuasa NFCC membolehkan tindakan lebih tegas diambil termasuk meneliti elemen kewangan di bawah rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram. Ini akan membolehkan penguatkuasaan lebih komprehensif terhadap majikan ingkar,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, langkah itu menunjukkan perubahan strategi penguatkuasaan daripada hanya menyasarkan pemandu kepada turut mengambil tindakan terhadap majikan dan pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa premis yang disyaki menggaji pemandu asing tanpa lesen sah.

“Operasi penguatkuasaan akan dilakukan termasuk serbuan bersasar akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Pendekatan penguatkuasaan yang diperluaskan itu untuk memberi kesan pencegahan kepada majikan selain mengurangkan risiko kemalangan membabitkan pemandu kenderaan komersial tidak terlatih,” katanya.

Katanya, pihaknya mahu menyelesaikan masalah itu secara tuntas dan apabila majikan tidak menggajikan pemandu yang tidak layak masalah kemalangan membabitkan warga asing akan berkurangan dengan ketara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top