am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun dipercayai masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlakunya kemalangan babitkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6, Lebuhraya Senai-Desaru di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, sebaik bertembung dengan sebuah Proton Saga, kedua-dua kereta kemudian berpusing dan terhenti di lorong kira dan kanan.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira dipercayai telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun.
“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing dan berhenti di lorong kiri dan kanan.
“Sebuah lagi kereta iaitu Perodua Myvi dipandu seorang wanita tempatan berusia 23 tahun yang bergerak di belakang Proton Saga tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Wira,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira dan Proton Saga parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala katanya, tiga penumpang Proton Wira dan pemandu Perodua Myvi parah, manakala seorang penumpang Perodua Myvi cedera ringan.
“Semua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




