Aprilia bakal resahkan Ducati musim 2026

Aprilia bakal resahkan Ducati musim 2026

Genoa: Pengurus pelumba MotoGP, Carlo Pernat percaya Aprilia RS-GP 2025 adalah ‘motorsikal lebih baik’ berbanding Ducati yang muncul juara tahun ini.

Ducati meraikan musim terbaik kali kedua dalam MotoGP, selepas Marc Marquez muncul juara dunia manakala pelumba mereka memenangi 17 daripada 22 Grand Prix.

Marquez menyumbang 11 kemenangan daripada jumlah itu untuk meraih gelaran MotoGP ketujuhnya dan yang pertama bersama pasukan pengeluar Ducati.

Namun, Ducati 2025 terbukti mencabar bagi Francesco Bagnaia dan Fabio Di Giannantonio, yang masing-masing melalui musim tidak konsisten, dengan Bagnaia hanya memenangi dua perlumbaan berbanding 11 pada 2024 ketika dia menjadi naib juara dunia.

Aprilia pula mencatat musim terbaik mereka dalam MotoGP dengan empat kemenangan menggunakan RS-GP 2025, sekali gus menamatkan saingan di tangga kedua dalam carta pengeluar.

Separuh kedua musim yang kompetitif menyaksikan Aprilia kerap bersaing dengan Ducati dan Marquez di hadapan, membuka prospek cabaran gelaran pada 2026.

Pernat mengakui Marquez melakukan perbezaan ketara untuk Ducati tahun ini, tetapi beliau tidak pasti sama ada ia ‘cukup’ untuk menentang Aprilia musim depan.

“Ducati tidak akan dapat tidur lena. Aprilia sudah kembali. Saya rasa mereka juga akan lebih pantas.

“Memang benar, jika kita lihat carta keseluruhan, mereka menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang pelumba Ducati lain, tetapi Alex Marquez menunggang GP24.

“Melihat apa yang kita saksikan, saya yakin untuk mengatakan RS-GP Aprilia tahun ini adalah motosikal yang lebih baik daripada Ducati.

“Marquez melakukan perbezaan ketara, tetapi saya tidak pasti jika musim depan mereka mampu bersaing dengan Aprilia,” katanya kepada Telenord.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top