Rom: Ketua jurulatih Lazio, Maurizio Sarri, menjalani pembedahan jantung ringan dan prosedur itu berjaya, kata kelab Serie A itu dalam satu kenyataan, Isnin.
Menurut kenyataan berkenaan, jurulatih berusia 66 tahun itu dijangka kembali menjalankan tugas bersama pasukan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Kelab itu memaklumkan Sarri sebelum ini mengalami masalah degupan jantung tidak teratur.
Sarri kembali menyertai Lazio pada musim panas ini selepas peletakan jawatan Marco Baroni.
Beliau pernah membimbing Lazio dari 2021 hingga Mac 2024 dan membawa kelab itu menamatkan saingan Serie A di tempat kedua pada musim 2022-23.
Sarri, yang dikenali sebagai perokok tegar, sebelum ini bekerja sebagai pegawai bank sebelum meninggalkan kerjaya itu untuk menjadi jurulatih sepenuh masa.
Beliau membawa Empoli naik ke Serie A pada 2014, membimbing Napoli meraih dua kali naib juara Serie A, memenangi Liga Europa bersama Chelsea pada 2019, serta membantu Juventus menjulang kejuaraan Serie A pada 2020.
Ketika ini, Lazio berada di tangga kelapan Serie A dengan 24 mata hasil 17 perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




