New Delhi: Seorang pesara meninggal dunia akibat ditahan dan diseksa oleh penjaga mereka selama lima tahun, manakala anak perempuannya yang orang kurang upaya (OKU) mental terselamat, lapor NDTV.
Mangsa, Omprakash Singh Rathore, 70, dan Rashmi, 27, berpindah ke rumah berasingan selepas kematian isterinya pada 2016.
Menurut abang Omprakash, Amar Singh, keluarga itu mengupah Ram Prakash Kushwaha dan isterinya, Ramdevi, untuk menjaga mereka.
Amar mendakwa, pasangan itu menguasai seluruh rumah, menempatkan lelaki dan anak perempuan itu di bilik bawah manakala mereka tinggal selesa di tingkat atas.
Jelasnya, pasangan itu juga didakwa menafikan keperluan asas kepada Omprakash dan Rashmi.
“Setiap kali saudara mara datang melawat, pembantu itu akan memberi alasan dan menghantar mereka pergi, dengan mengatakan bahawa Omprakash tidak mahu bertemu sesiapa,” kata Amar.
Menurut Amar, apabila berita kematian Omprakash sampai kepada keluarga pada hari Isnin, saudara mara tiba dan menemui penemuan yang mengerikan.
Difahamkan, mayat Omprakash kelihatan sangat kurus manakala Rashmi ditemui berbogel di sebuah bilik gelap.
“Badan Rashmi kelihatan seperti seorang warga tua berusia 80 tahun akibat kebuluran.
“Tiada daging yang tinggal pada badannya, hanya rangka tulang yang kekal, hampir tidak bernyawa,” kata seorang saudara, Pushpa Singh Rathore.
Dalam pada itu, doktor mengisytiharkan Omprakash meninggal dunia setibanya di hospital, sebelum polis mengambil mayat itu untuk melakukan bedah siasat.
Susulan itu juga, keluarga berkenaan kini mengambil alih penjagaan Rashmi dan menuntut hukuman paling tegas terhadap penjaga yang menyebabkan tragedi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




