LATEST

Shikin Maembong akui bukan mudah istiqamah selepas berhijab

Shikin Maembong akui bukan mudah istiqamah selepas berhijab

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Bukan terus sempurna, tetapi saya perlahan-lahan mencuba,” kata isteri kepada penyanyi, Cat Farish iaitu Shikin Maembong mengenai penampilan terbaharunya yang berhijab.

Baca juga: PRN Melaka: Kehadiran pengundi Duyong menggalakkan, hujan petang jadi kebimbangan

Shikin atau nama sebenarnya Siti Nur ‘Ashikin Ismail, 42, mengakui keputusan untuk berhijab bukanlah satu perkara yang mudah dan menuntut ketahanan mental yang tinggi, terutamanya dari segi peralihan gaya hidup.

“Sebenarnya keputusan bertudung ini agak berat juga. Jadi, bila kita buat keputusan nak ubah ke arah kebaikan, bukanlah terus (berubah 100 peratus) sebenarnya. Insya-Allah, doakan.

“Sebab bila kita nak menutup aurat ini, kita dah kena tukar ‘wardrobe’ 100 peratus. Jadi, perlahan-lahan, kena cari baju-baju yang labuh.

“Lepas itu, baju lama yang ada kita pakai balik, kadang-kadang kalau tak ada lengan, saya kena pakai ‘inner’ labuh dan ‘inner’ seluar.

“Fesyen itu pun saya masih ‘mix and match’ dengan apa yang ada. Tetapi doakan saya, insya-Allah, saya memang tengah nak ke arah kebaikan dan cuba berubah,” katanya.

Shikin berkata demikian ketika ditemui di Tayangan Eksklusif filem Siluman: Dendam Harimau Jadian di Suria KLCC, di sini, semalam.

Berkongsi mengenai cabaran untuk kekal istiqamah dalam berhijab, kakak kepada pelakon, Emma Maembong itu berkata, dia mengakui proses berkenaan tidak mudah.

“Secara jujur, memang susah. Kadang-kadang kita rasa macam, ‘Ya Allah, kuatkan hati ini, terus istiqamah’.

“Sebab itulah saya tampil dengan idea ‘mix and match’ pakaian sedia ada. Sekarang ini pun tak susah sebab di media sosial ramai pempengaruh dan artis berhijab yang tunjuk contoh fesyen untuk kita jadikan rujukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shikin meluahkan rasa terharu apabila menerima sokongan positif daripada peminat serta rakan-rakan seperjuangan dalam industri seni.

Bagaimanapun, ada di kalangan pengikut serta rakan selebriti turut menghantar mesej peribadi memuji penampilannya selain meluahkan keinginan untuk berhijab.

“Ada juga peminat tinggalkan kata-kata positif dan katakan, ‘Okey akak, doakan saya semoga saya pun beristiqomah macam akak’. Kawan-kawan selebriti pun ada mesej saya cakap, ‘cantiknya awak pakai tudung macam ni’.

“Tetapi bagi saya, untuk kita berubah, ia datang daripada diri sendiri. Jangan pakai tudung sebab orang lain atau nak puaskan hati sesiapa. Kalau rasa tiba masa untuk berubah, lakukan secara perlahan-lahan,” kongsinya.

Ditanya mengenai reaksi ahli keluarga, Shikin berkata, keluarganya menerima perubahan imej terbaharunya dengan baik.

“Semua ahli keluarga saya memang sangat sokong dan bagi kata-kata positif serta semangat.

“Sudah tentu keluarga gembira kerana apa sahaja yang kita lakukan, mereka akan sokong terutamanya jika ia ke arah kebaikan,” katanya.

Pada Julai lalu, Shikin mencuri perhatian ramai apabila tampil berhijab, sekali gus menyifatkan penampilan terbaharunya sebagai hadiah istimewa buat suaminya, Cat Farish.

Untuk rekod, Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 52, dan Shikin mendirikan rumah tangga pada 13 Julai 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news