Kuala Lumpur: Bekas menteri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima kira-kira RM5 juta dan sebuah kereta mewah jenis Lamborghini memberi keterangan selama sembilan jam, hari ini.
Difahamkan, pegawai penyiasat hanya melepaskan bekas pemimpin itu sekitar 6 petang tadi.
Beliau sebelum itu dilihat memasuki Ibu Pejabat SPRM pada 10.01 pagi, menaiki sebuah kenderaan berwarna putih.
Difahamkan, setakat ini tiada keterangan seterusnya berlangsung esok.
Semalam, individu berkenaan dilaporkan berada di Ibu Pejabat SPRM lebih tujuh jam untuk disoal siasat berhubung siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan projek papan iklan serta urusan pemindahan tanah di ibu negara.
Dia dipercayai meninggalkan pekarangan ibu pejabat SPRM pada 6.50 petang selepas tiba sekitar 10.30 pagi.
Semalam, media melaporkan seorang bekas menteri memberi keterangan kepada SPRM berhubung wang rasuah kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini, yang dikaitkan dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Kereta mewah itu diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Bekas pemimpin itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu kini turut berada dalam radar siasatan berikutan dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat dalam sebuah kementerian.
Siasatan SPRM ketika ini membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.
Difahamkan, tindakan itu mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan, malah maklumat terbaharu yang dilaporkan oleh orang awam menyebabkan SPRM membuka kertas siasatan biarpun bekas pemimpin itu sudah lama tidak berkhidmat dalam kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




