Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan penghargaan kepada seluruh warga peneroka yang telah menjadi nadi kepada kejayaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak tujuh dekad lepas.
Menerusi ucapan bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 FELDA itu Ahmad Zahid berkata pengorbanan dan semangat yang tidak pernah luntur itulah yang membina sebuah legasi yang menjadi kebanggaan negara.
“Legasi ini pula terus disambung oleh generasi baharu FELDA yang membawa nama tanah rancangan ke pentas yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang.
“Di sebalik hamparan ladang yang menghijau hari ini, tersimpan kisah ribuan keluarga yang pernah memulakan hidup dengan penuh cabaran.
“Mereka membuka tanah, membina penempatan dan membesarkan anak-anak dengan impian agar generasi selepas mereka menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap semangat yang diwariskan generasi peneroka terdahulu akan terus mengalir dalam jiwa generasi baharu.
“Semoga FELDA sentiasa melakar kejayaan demi kejayaan dan kekal menjadi kebanggaan negara. Selamat Menyambut Hari Peneroka FELDA 2026,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan itu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




