Peletakan jawatan Muhyiddin bukan didorong kepentingan peribadi – Noh

Peletakan jawatan Muhyiddin bukan didorong kepentingan peribadi – Noh

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) dipercayai menjadi punca Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan Muhyiddin itu bukan didorong oleh kepentingan peribadi, sebaliknya lahir daripada sikap kepimpinan matang yang mengutamakan perjuangan parti dan gabungan demi kestabilan politik.

Menurutnya, individu itu mengambil tindakan terbabit apabila berlaku sedikit kemelut dalam PN.

“Jadi kerana dia lebih mementingkan PN maka dia letak jawatan sebagai Pengerusi PN.

“Bagi saya beliau seorang yang berjiwa besar dan saya yakin bahawa PN nanti akan ada kesinambungan sebab dalam perjuangan kita pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan parti mestilah diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noh turut menjelaskan kekeliruan mengenai Muafakat Nasional (MN), bahawa pertubuhan itu bukan bersifat politik, sebaliknya sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan secara rasmi.

Beliau berkata, MN dianggotai pelbagai latar belakang termasuk ahli politik daripada pelbagai parti serta individu profesional yang majoritinya Melayu, namun turut membabitkan bukan Melayu tanpa mengira kaum atau ideologi politik.

“MN diwujudkan sebagai pusat khidmat sukarelawan untuk membantu rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum.

“Ia bermula di Melaka dan akan diperluaskan ke peringkat pusat serta negeri lain,” katanya.

Semalam media melaporkan selepas lima tahun memimpin PN, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top