JPS Selangor guna pam baharu berkapasiti lebih besar tangani banjir di Kampung Melayu Subang

JPS Selangor guna pam baharu berkapasiti lebih besar tangani banjir di Kampung Melayu Subang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menambah dan menggunakan pam baharu di Jalan Resak dan Desa Subang Perantau, Kampung Melayu Subang, dekat sini, bagi mengurangkan masalah banjir di kedua-dua kawasan terbabit sementara menunggu projek Sungai Pelempas dilaksanakan.

JPS Selangor dalam kenyataannya berkata, penggantian pam sedia ada dengan pam baharu berkapasiti lebih besar di Jalan Resak, manakala pam asal dipindahkan ke Desa Subang Perantau sekali gus menjadikan kawasan berkenaan mempunyai dua pam untuk membantu mengeluarkan air ke Sungai Pelempas.

Katanya, langkah itu sebagai mitigasi jangka pendek bagi mengeluarkan air saliran dalaman serta limpahan sungai sekiranya ia berlaku.

“Hasil penilaian susulan banjir pada 2 dan 4 November lalu dengan taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm), mendapati keperluan pam berkapasiti lebih besar diperlukan di Jalan Resak.

“Ia terutama kerana saliran dalaman akan bertumpu ke kolam di Jalan Resak sebelum boleh disalurkan ke Sungai Pelempas. Susulan itu kami menukar pam di Jalan Resak kepada (pam baharu berkapasiti) 280 liter sesaat (l/s).

“Kedudukan Desa Subang Perantau (Jalan Ikhlas) yang berada di kawasan downstream (hiliran) memerlukan lebih pam berkapasiti lebih tinggi ini kerana risiko limpahan ‘back water’ dari Jambatan Kampung Baru Subang lebih tinggi di kawasan berkenaan,” katanya.

Jabatan itu berkata, faktor utama yang menyebabkan air banjir lambat surut di dua kawasan berkenaan ialah taburan hujan yang sangat lebat iaitu melebihi 60mm dengan masing-masing merekodkan 116.5mm pada 2 November lalu dan 91.5mm pada 4 November lalu.

“Paras Sungai Pelempas yang masih tinggi menyukarkan air daripada saliran dalaman disalirkan ke dalam sungai, justeru kami menyediakan pam bagi membantu perkara itu. Selain itu kawasan yang terkesan berada di low-laying area (kawasan tanah rendah), sistem saliran dalaman terhad dan tidak sistematik,” katanya.

Sementara pelaksanaan projek Sungai Pelempas tahun hadapan, jabatan itu berkata, langkah jangka pendek yang dirancang ialah menyediakan pam berkapasiti lebih besar di Jalan Resak daripada 140 l/s kepada 280 l/s, manakala Jalan Ikhlas berkapasiti 280 l/s.

Katanya, pihaknya juga sudah memasang pintu kawalan aliran air (flapgate) saliran keluar ke sungai dari parit atau longkang dalaman dalam lot hak milik yang berpotensi menyebabkan aliran ‘backflow’ sungai ke dalam saliran dalaman.

“Kita juga sudah mengenalpasti lokasi pelaksanaan kerja segera bagi pembinaan tembok penahan banjir (floodwall) di lokasi yang limpahan sungai (Sungai Pelumut) serta kawasan yang berpotensi dijadikan kolam dan pelebaran sungai di Sungai Pelempas.

“Kita akan melaksanakan kerja quickwin membabitkan pengorekan Sungai Pelempas dan kolam dalam masa terdekat bagi menambah kapasiti saliran selain menjalankan OPS Lumpur bagi semua lokasi di kawasan upstream bagi memastikan pemaju mematuhi obligasi dalam syarat pemajuan.

“JPS melalui Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara akan melaksanakan kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Damansara (downstream) dan membuang struktur halangan di dalam Sungai Damansara,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, kapasiti pam air di Jalan Resak dan Desa Subang Perantau kini ditingkatkan dua kali ganda bagi membantu mempercepatkan aliran air banjir yang bertakung.

Beliau turut berterima kasih atas tindakan JPS menggantikan pam baharu berkapasiti lebih besar di Jalan Resak, manakala pam asal dipindahkan ke Desa Subang Perantau.

“Saya memahami keresahan penduduk yang masih berdepan takungan air serta kesukaran menguruskan rumah dan keluarga.

“Ini adalah langkah segera sementara menunggu projek Sungai Pelempas dilaksanakan mulai tahun hadapan. Masih terdapat jajaran sungai yang belum mempunyai tembok penahan dan perkara ini akan terus saya susuli bersama pihak berkaitan,” kongsinya di Threads.

From: arazak

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top