nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak berkuasa digesa memperluas siasatan bagi menjejaki sumber dan rangkaian pembekal dadah yang kini dikesan menggunakan pelbagai saluran untuk menyalurkan bahan terlarang itu termasuk kepada pelajar sekolah.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo, berkata siasatan tidak seharusnya terhenti setakat mengenal pasti pelajar yang memiliki atau menggunakan bahan berkenaan, sebaliknya perlu turut meneliti sumber kewangan dan pihak yang membekalkannya.
“Siasatan dilakukan pihak berkuasa tidak seharusnya terhenti sama ada pelajar memiliki bahan itu tetapi juga perlu menjejaki wang diperoleh dan pembekalnya.
“Ini termasuk persoalan sama ada ada pihak yang memberikan dadah berkenaan secara percuma atau memujuk pelajar untuk mencubanya,” katanya.
Beliau mengulas kes tular membabitkan seorang pelajar sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki menghisap vape mengandungi dadah.
Siasatan polis mendapati pelajar terbabit disyaki menghisap vape, manakala ujian awal air kencingnya didapati positif tiga jenis dadah.
Susulan itu, polis menahan dua lagi remaja masing-masing berusia 17 dan 18 tahun yang disyaki membekalkan vape berkenaan, dipercayai dibeli menerusi media sosial.
Daniel berkata kes itu menunjukkan vape mengandungi dadah boleh dibeli secara dalam talian sebelum dihantar melalui perkhidmatan pos ke rumah, sekali gus berpotensi dibawa ke sekolah.
Katanya, kawalan pintu pagar sekolah yang ketat sekalipun tidak mampu membendung kegiatan itu sepenuhnya berikutan pembelian boleh dilakukan secara dalam talian.
“Ini bermakna pihak sekolah sukar membendung kegiatan itu secara bersendirian walaupun ada kawalan pintu pagar yang ketat.
“Disebabkan itu, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada bungkusan, rekod pembelian dalam talian dan hubungan media sosial anak-anak bagi mengelak mereka terjebak dengan dadah,” katanya.
Beliau berkata, ramai pelajar menyedari kesan buruk dadah, namun dorongan rakan sebaya, perasaan ingin tahu serta takut disisihkan menyebabkan mereka masih sukar mengawal diri daripada terjebak dengan bahan berbahaya itu.
“Justeru itu, saya menyeru ibu bapa supaya mengambil berat mengenai pergaulan anak, aktiviti selepas sekolah dan tabiat perbelanjaan mereka.
“Jika anak didapati merokok atau menggunakan vape, ibu bapa perlu memahami puncanya terlebih dahulu dan tidak terburu-buru menyimpulkan bahawa mereka terbabit dengan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, Daniel berkata pihak sekolah turut bertanggungjawab memantau individu atau barangan mencurigakan serta tingkah laku luar biasa pelajar sepanjang sesi persekolahan.
“Pemeriksaan dan peraturan lebih ketat sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah ini sepenuhnya.
“Pihak sekolah boleh mengajar pelajar cara menolak pelawaan sekiranya ditawarkan atau dipujuk untuk mencuba bahan yang tidak diketahui,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




