am@hmetro.com.my
BERBEKALKAN semangat luar biasa dan keberanian menampilkan kelainan, Konsert Lokaloko 2026 menjadi nadi baharu industri muzik tempatan yang bakal menyatukan pelbagai genre dan generasi di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026.
Pengarah Urusan Milestone Production, Datuk Grace Lee berkata, Lokaloko bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah platform muzik merentas generasi dan genre yang menyatukan penonton melalui pengalaman muzik secara langsung.
“Konsep Lokaloko adalah tentang kontras dan keseimbangan. Setiap artis hadir dengan identiti dan emosi tersendiri, namun disatukan oleh muzik,” katanya.
Konsert ini menampilkan barisan artis yang disusun teliti iaitu Butterfingers, Amir Jahari, Fugo dan kumpulan indie-pop dari Indonesia, The Lantis.
Butterfingers bakal membawa identiti rock alternatif, manakala Amir Jahari pula tampil dengan karya beremosi dan dekat dengan penceritaan kehidupan.
Manakala, Fugo mewakili generasi baharu dengan bunyi segar dan ekspresif, sementara The Lantis menjanjikan persembahan indie-pop bernada lembut dan emosional.
Sidang media yang diadakan di The Cage, LaLaport Bukit Bintang City Centre, di sini, turut dihadiri Butterfingers dan Fugoil, manakala The Lantis menyertai secara maya.
Menjawab persoalan mengapa Butterfingers bersetuju menyertai Konsert Lokaloko, vokalisnya, Emmet berkata, konsep merentas sempadan dan budaya yang diketengahkan benar-benar menarik minat kumpulan itu.”Lokaloko membawa sesuatu yang unik dan itu sebab kami teruja untuk terlibat dalam konsert ini,” katanya.
Sementara itu, wakil kumpulan Fugo, Fai menyifatkan peluang beraksi di Zepp KL sebagai impian menjadi kenyataan, apatah lagi ia adalah persembahan pertama mereka bagi 2026.
Selain itu, kumpulan The Lantis mengakui mereka sudah mula membuat persiapan rapi termasuk melakukan kajian terhadap cita rasa peminat tempatan sebelum tampil membuat persembahan di Malaysia.
Menurut Giri mewakili kumpulan itu, mereka sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia sejak pertengahan tahun ini dan berpeluang melihat sendiri sambutan serta keunikan penonton tempatan yang disifatkan sangat menghargai muzik.
“Kami memang buat ‘research’ kerana sudah beberapa kali datang ke Malaysia. Kami lihat sendiri ‘crowd’ di Malaysia sangat bagus dan benar-benar menghargai persembahan.
“Kami mahu simpan sebagai kejutan. Cuma apa yang boleh dikongsi, ada perbezaan antara lagu kami yang popular di Indonesia dan di Malaysia,” katanya.
Konsert Lokaloko 2026 turut menampilkan konsep dua konsert yang berbeza dalam satu hari.
Sesi jam 3 petang menyaksikan Butterfingers bergandingan dengan Amir Jahari, manakala sesi jam 8 malam menampilkan The Lantis bersama Fugo, masing-masing dengan ‘vibe’ tersendiri.
Sebagai kejutan tambahan, penganjur turut mengumumkan pemberian 100 tiket percuma menerusi platform TikTok dan Instagram.
Peminat boleh mengikuti akaun rasmi @lokalokomy bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk peraduan dan kejutan khas menjelang hari konsert.
© New Straits Times Press (M) Bhd




