am@hmetro.com.my
Melaka: Aksi penerbangan yang menjadi tumpuan orang ramai di Pantai Klebang bertukar cemas apabila sebuah helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di perairan berkenaan, di sini malam tadi.
TLDM memaklumkan, insiden berlaku jam 10.50 malam ketika helikopter berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menurut kenyataan itu, seramai empat kru udara berada di dalam helikopter terbabit dan kesemuanya berjaya diselamatkan.
“Kesemua kru kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut
“Mereka disahkan berada dalam keadaan sedar serta stabil, selain terus dipantau oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan kejadian tersebut, TLDM segera mengatur operasi salvaj bagi pesawat berkenaan serta menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pendaratan kecemasan itu.
Dalam pada itu, TLDM turut memohon kerjasama orang ramai tidak menularkan sebarang rakaman video kejadian di media sosial demi menjaga sensitiviti serta memastikan kelancaran proses siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




