Brisbane: Pihak berkuasa di Australia sedang menyiasat asal usul objek sfera besar misteri yang terdampar di sebuah pantai di utara Queensland, hujung minggu lalu, lapor BBC.
Enam objek pepejal yang ditemukan di Forrest Beach berhampiran bandar Townsville itu dipercayai serpihan angkasa lepas dan Agensi Angkasa Australia (ASA) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumbernya. BBC turut menghubungi agensi berkenaan untuk mendapatkan ulasan.
Kakitangan yang memakai pakaian perlindungan khas dilihat memasukkan objek sfera itu ke dalam tong bahan berbahaya di bawah kawalan polis berikutan kebimbangan ia mungkin mengandungi bahan berbahaya.
Jabatan Bomba Queensland pada Ahad memaklumkan zon larangan sejauh 50 meter di sekitar lokasi penemuan masih dikuatkuasakan dan menggesa orang ramai supaya tidak menyentuh objek mencurigakan yang ditemukan di kawasan berkenaan.
Katanya, sesiapa yang menemui objek berkenaan diminta menjauhkan diri dan menghubungi talian perkhidmatan kecemasan.
Terdapat beberapa spekulasi dalam talian yang mendakwa sfera berkenaan adalah tangki propelan untuk kapal angkasa dan berkemungkinan mengandungi sisa bahan yang sangat mudah terbakar atau bahan reaktif.
Dalam pada itu, timbul pelbagai spekulasi di media sosial yang mendakwa sfera berkenaan mungkin tangki propelan milik kapal angkasa dan berkemungkinan masih mengandungi sisa bahan yang mudah terbakar atau bahan kimia reaktif.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama objek misteri seumpama itu dikesan di pesisir pantai Australia.
Pada 2023, India mengesahkan bahawa sebuah kubah logam gergasi yang terdampar di pantai Australia Barat berhampiran Perth adalah daripada serpihan roket miliknya.
Jurucakap agensi angkasa India kemudian memaklumkan kepada BBC bahawa objek itu berasal daripada Kenderaan Pelancar Satelit Kutub (PSLV) milik negara berkenaan.
Sementara itu, satu objek sfera yang serupa turut ditemukan di kawasan padang rumput terpencil di Namibia, pada 2011.
Pakar ketika itu percaya objek berkenaan berkemungkinan besar ialah tangki bahan api atau tangki pundi yang mengandungi hidrazin sejenis propelan yang sangat tidak stabil yang dipercayai berasal daripada sebuah roket tanpa pemandu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




