PETALING JAYA: Pelakon, Que Haidar buat ketika ini memutuskan untuk terus menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kata empunya nama penuh Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, pilihan tersebut dibuat untuk mendapatkan ketenangan hidup yang mungkin sukar diperolehi di ibu kota.
“Saya pada awalnya cuma merancang untuk tinggal di sana selama empat hingga enam bulan sahaja.
“Lama kelamaan saya rasa seronok dengan suasana tenang, setiap pagi menghirup udara segar sambil mendengar unggas berkicauan.
“Tambah pula kediaman sekarang lebih dekat dengan kilang sambal yang saya usahakan di Melaka,” katanya yang ditemui di set penggambaran drama Pak Su Ammara semalam.
Que bagaimanapun memaklumkan dewasa ini jarang pulang ke Kuala Pilah kerana terikat dengan jadual penggambaran yang padat.
“Sudah tiga bulan saya kerja tanpa cuti. Terasa rindu kepada rumah, lebih-lebih lagi katil saya di kampung.
“Walapun tiada kesempatan bercuti, saya bersyukur kerana masih diberikan rezeki untuk bekerja,” katanya lagi.
Que juga berkongsi mengenai perancangan untuk membina rumah baharu di kampung halamannya di Kulai, Johor.
“Saya sedang mengusahakan projek kolam ikan selain mahu membina sebuah rumah kecil sebagai tempat persinggahan.
“Kawasan itu nanti akan menjadi tempat yang tenang dan sesuai untuk membawa anak-anak beriadah,” ujarnya. – UTUSAN



