PARLIMEN: Kerajaan salur RM15.77 juta kepada Suhakam tahun lalu

PARLIMEN: Kerajaan salur RM15.77 juta kepada Suhakam tahun lalu

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan geran berjumlah RM15.77 juta kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tahun lalu untuk menampung kos operasi suruhanjaya itu, termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, jumlah itu meningkat sebanyak RM2.22 juta berbanding geran RM13.55 juta yang disalurkan pada tahun lalu.

Beliau berkata, geran berkenaan disediakan bagi membiayai pelbagai perbelanjaan operasi Suhakam, termasuk elaun tetap pesuruhjaya, emolumen, sewaan premis, utiliti dan pelaksanaan program serta aktiviti tahunan.

“Pemberian geran ini berdasarkan sesi semakan Belanjawan 2024, prestasi perbelanjaan Suhakam dan kemampuan kewangan kerajaan pada ketika itu.

“Kerajaan juga tidak pernah gagal menyediakan peruntukan kepada Suhakam sejak suruhanjaya ini ditubuhkan pada tahun 2000,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN

Scroll to Top