Alam Flora kutip 3.2 tan sisa ketika sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di KL

Alam Flora kutip 3.2 tan sisa ketika sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di KL

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Bhd mengutip kira-kira 3.2 tan sisa dari tiga kawasan utama di Kuala Lumpur semasa sambutan Tahun Baharu 2026.

Jumlah itu menunjukkan penurunan 11 peratus berbanding 3.6 tan yang dikutip pada 2025.

Operasi pembersihan itu menumpukan kawasan trafik tinggi iaitu Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir pada jam 8 pagi hari ini memastikan bandar raya kembali bersih dan selesa sejajar permulaan tahun baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain, berkata KLCC mencatatkan jumlah sisa tertinggi iaitu 1.4 tan, diikuti Bukit Bintang (1 tan) dan Dataran Merdeka (0.8 tan).

“Operasi ini membabitkan 152 kakitangan termasuk pengurusan, pasukan prapembersihan, pemandu dan pekerja am di lokasi-lokasi utama.

“Tiga kenderaan kompaktor digunakan untuk memastikan kutipan sisa lebih cekap, manakala jet air turut digunakan untuk mencuci kaki lima terutama di kawasan yang sesak.

“Selain itu, 36 tong sampah mudah alih berkapasiti 660 liter dan 25 tong sampah mudah alih berkapasiti 240 liter diletakkan secara strategik bagi memudahkan pembuangan sisa dengan betul,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shariman berkata, kutipan sisa tahun ini lebih terkawal terutama di Bukit Bintang.

“Bilangan orang ramai berbeza mengikut lokasi pilihan sambutan. Namun, pasukan kami sentiasa bersedia untuk menguruskan kutipan sisa dengan efisien tanpa mengira jumlah kehadiran,” katanya.

Walaupun tumpuan orang ramai berbeza, beliau berkata, Alam Flora tetap komited untuk memastikan persekitaran bersih dan sihat bagi semua sambutan, menjadikan Kuala Lumpur terus maju sebagai bandar raya yang menyinar dan selesa dihuni.

“Operasi ini menunjukkan dedikasi berterusan Alam Flora terhadap kelestarian alam sekitar dan kebersihan bandar sejajar dengan misi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau.

“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Malakoff dalam operasi bertanggungjawab selari dengan aspirasi Malakoff Environmental Solutions untuk menumpukan kepada pengurusan alam sekitar dan menyampaikan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan planet.

“Ia juga selari Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) No 11 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menekankan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, tahan lasak dan lestari,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top