saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perkhidmatan dalam talian Lembaga Tabung Haji (TH) yang menghubungkan akaun deposit dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kini sudah beroperasi semula sepenuhnya.
TH berkata, perkhidmatan atas talian itu sudah disambung semula pagi ini.
“Bagaimanapun penyambungan semula dengan bank rakan strategik lain masih menunggu pengesahan pihak bank.
“Sementara itu, pendeposit boleh mendapatkan perkhidmatan TH di pejabat cawangan TH berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
TH memaklumkan perkembangan terkini mengenai status perkhidmatan rakan bank yang lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi mereka.
Sebelum itu, serangan terhadap sistem dan perkhidmatan utama TH menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pendeposit.
Susulan itu, TH mengambil langkah menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran pada Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




