Istanbul: Pertahanan Awam Arab Saudi pada Selasa mengumumkan bahawa keadaan bahaya di ibu negara Riyadh telah berakhir, beberapa minit selepas mengeluarkan amaran kecemasan tanpa memperincikan bentuk ancaman itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Amaran telah dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan di bandar Riyadh bagi memaklumkan mengenai kemungkinan berlaku bahaya,” menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.
Penduduk diarahkan supaya menuju ke tempat selamat yang terdekat dan kekal di dalam bangunan sehingga keadaan bahaya berakhir.
Beberapa minit kemudian, Pertahanan Awam mengumumkan keadaan di bandar itu kembali selamat serta menggesa penduduk supaya terus mematuhi arahan dan mengelakkan diri daripada berkumpul serta membuat rakaman.
Amaran di Riyadh itu dikeluarkan kurang sejam selepas pihak berkuasa mengumumkan bahawa keadaan bahaya di Wilayah Timur telah berakhir susulan amaran sama yang dikeluarkan sebelum itu. Pihak berkuasa juga tidak mendedahkan bentuk bahaya di wilayah berkenaan.
Terdahulu pada Selasa, kumpulan Houthi di Yaman mengancam untuk menyasarkan ibu pejabat syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco di Dammam, lapangan terbang utama di Riyadh serta loji penapis Aramco di Riyadh sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan pakatan yang diketuai Arab Saudi ke atas kemudahan mereka di Sanaa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




