Lelaki dikhuatiri lemas dihanyutkan arus di Jeram Besu, Raub

Lelaki dikhuatiri lemas dihanyutkan arus di Jeram Besu, Raub

am@hmetro.com.my

Raub: Lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Sharil Abdul Rahman berkata, mangsa Mohamat Firdarus Jamaidi,25, dilaporkan hilang ketika mandi jam 12.45 tengah hari.

Katanya, kejadian itu disedari isteri mangsa, Putri Nursyafika Yasmin Azizan Shah, 28, dan memaklumkan kepada penduduk kampung.

“Penduduk setempat berusaha mencari mangsa tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sharil berkata, susulan kejadian itu isteri mangsa membuat laporan polis jam 1.45 tengah hari, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu penduduk kampung melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, pencarian di permukaan air membabitkan jarak sejauh satu kilometer di sepanjang jeram itu sudah dilakukan namun mangsa belum ditemui.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada kira-kira jam 7 petang dan akan disambung jam 8 pagi esok,” katanya

Difahamkan Mohamat Firdarus berasal dari Sepitang , Sabah dan berkerja sebagai juruteknik di Johor Bharu, Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top