KAJANG: Syazwan Zulkifly, 39, membuat keputusan menangguhkan perancangan untuk berkahwin dengan pramugari, Syawariah Zulkifli.
Katanya, mereka masih terikat dengan urusan yang belum selesai justeru terpaksa menunda perancangan tersebut yang sepatutnya dilaksanakan tahun lepas.
“Awalnya memang ada niat untuk berkahwin. Tetapi kami masih ada hal yang nak dikejar lagi.
“Jadi, kami kejar mana yang boleh, soal kahwin boleh kami uruskan selepas itu.
“Sebenarnya, kalau dia kata nak kahwin esok, saya teruskan sahaja. Saya okey saja sebenarnya, umur pun sudah 39 tahun,” katanya yang ditemui ketika sesi penggambaran drama Pak Su Ammara baru-baru ini.
Syazwan dan Syawariah pada 31 Ogos 2019 pernah mengikat tali pertunangan namun sepakat memutuskannya pada Mac 2020.
Percintaan mereka bertaut kembali sebelum Syazwan memaklumkan perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga tahun lalu.
Kata Syazwan, tidak timbul perbalahan antara dia dan Syawariah dan masing-masing matang dalam mengendalikan penangguhan tersebut.
“Kami ada bercakap soal kahwin ini, tapi tak adalah tergesa-gesa. Kursus kahwin pun kami tak ambil lagi.
“Jadi, macam mana nak melangkah fasa seterusnya sedangkan perkara wajib pun tak buat lagi? Namun kami memang ada bincang bila nak pergi cuma tiada sebarang ketetapan lagi,” jelasnya.
Syazwan juga memberitahu campur tangan keluarga juga tidak pernah berlaku dan keputusan yang diambil adalah persetujuan bersama.
“Ibu bapanya sudah tiada, sementara mak saya pun sudah meninggal dunia. Ayah saya okey dan ikut saja kalau saya sudah bersedia (berkahwin).
“Saya ikut sahaja aturan Tuhan. Mungkin lepas raya, atau selepas dua tahun nanti, kita pun tak tahu dan okey saja,” ujarnya. – UTUSAN




